PEMAIN kontroversi, Luis Suarez menyelamatkan maruah Uruguay apabila menjaringkan gol tunggal ketika membantu skuad La Celeste menewaskan Arab Saudi 1-0 pada aksi Kumpulan A Piala Dunia 2018 di Arena Rostov kelmarin.
Kemenangan itu membantu skuad bimbingan Oscar Tabarez mara ke pusingan 16 pasukan terbaik setelah mengumpul enam mata selepas menang 1-0 ke atas Mesir pada aksi pertama 15 Jun lalu.
Bagaimanapun, kejayaan itu disifatkan oleh Tabarez sebagai bukan kemenangan semudah yang disangkakan kerana mereka hanya menang tipis.
“Sesetengah orang pasti mengatakan kami mampu menang mudah dalam aksi tersebut kerana mereka hanya berbicara mengenai Rusia, Mesir dan Arab Saudi tanpa mengetahui hal sebenar yang perlu dihadapi pemain.
“Dalam kempen kali ini terdapat banyak kejutan, namun kita perlu sedar masih belum ada perlawanan yang mencatatkan keputusan 10-1 dalam Piala Dunia sebelum ini,” ujar Tabarez.
Suarez pernah mengundang kontroversi pada Piala Dunia 2014 di Brazil empat tahun lalu apabila menggigit bahu pemain pertahanan Itali, Giorgio Chiellini dalam pertembungan terakhir Kumpulan D.
Akibat tindakan itu, Suarez digantung sembilan aksi bersama skuad kebangsaan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).










