KUALA LUMPUR 21 Jun – Calon bagi jawatan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Khaidriah Abu Zahar atau lebih dikenali Dira berikrar akan memberi komitmen sepenuhnya bersama rakan-rakan dalam parti demi perubahan dan kegemilangan semula UMNO.
Dira berkata, beliau juga akan konsisten dengan tekad untuk terus ‘Work Smart’ demi bangsa, agama dan negara ini.
“Saya berikrar untuk bekerja sepenuh jiwa dan raga bersama-sama dengan rakan-rakan seperjuangan dalam parti agar UMNO dikembalikan kepada roh asal dengan jasad yang baharu.
“Roh yang saya maksudkan adalah parti Melayu yang inklusif dengan menunjukkan keterangkuman yang besar kepada seluruh rakyat Malaysia. Parti yang membuka ruang kepada setiap lapisan masyarakat bukan hanya golongan atasan, bangsawan, korporat dan elit sahaja malah parti untuk orang biasa dan menjaga kepentingan mereka. Parti yang tidak rasis, tidak seksis, tidak jumud dan tidak lagi pekak terhadap kehendak rakyat jelata.
“Parti yang mengetengahkan elemen kasih sayang dan ‘acceptance’, penyelesai masalah rakyat dan check & balance yang bijaksana kepada kerajaan Pakatan Harapan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Dira berkata, semangat perjuangan ahli UMNO perlu berteraskan kepada fastabiqul khairat iaitu berlumba-lumba untuk membuat kebaikan kepada rakyat dan bukannya untuk jawatan, pangkat dan kekayaan.
“Budaya ilmu perlu memacu perjuangan UMNO di setiap peringkat. Idea untuk kebaikan rakyat harus sentiasa dikembangkan. Keterbukaan parti baik para ilmuan, profesional serta aktivis harus diberi ruang dalam menyuarakan idea yang mungkin selama ini disekat dan dipinggirkan. Kita buka pintu UMNO seluas-luasnya kepada siapa sahaja yang ingin membina semula parti kita.
“Saya sedar mungkin ada yang rasa saya terlalu muda dan mentah. Tetapi kita berada di zaman luar biasa yang menuntut jalan yang bukan biasa.
“Namun ikrar ini adalah keikhlasan dalam perjuangan berani berubah dan saya antara calon yang akan terus konsisten dengan tekad untuk terus ‘Work Smart’, demi bangsa, agama dan negara yang amat kita cintai,” katanya. – UTUSAN ONLINE










