Kerajaan teruskan projek TRX dengan tambahan dana RM2.8 bilion - Utusan Malaysia

Kerajaan teruskan projek TRX dengan tambahan dana RM2.8 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Kerajaan telah memutuskan supaya projek Tun Razak Exchange (TRX) diteruskan dengan suntikan dana tambahan tidak melebihi RM2.8 bilion kepada syarikat TRX City Sdn. Bhd. (TRXC). 

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, keputusan itu dibuat bagi menangani kebimbangan pelabur-pelabur tempatan dan antarabangsa yang sedia ada di TRX yang sudah membuat pelaburan berbilion ringgit.

“Suntikan tambahan RM2.8 bilion akan meningkatkan jumlah besar peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada TRXC ke RM6.5 bilion.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Penyiapan TRX akan membolehkan projek tersebut mencapai nilai penuhnya yang sekurang-kurangnya RM7.6 bilion.

“Ini akan membolehkan TRXC membayar balik hutang dan menjana kembali dana yang telah diselewengkan oleh 1MDB malah Kerajaan Persekutuan juga yakin penerusan projek ini akan meraih lebihan kecil yang akan menampung pelaburan lepas,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Ismail Bakar; Ketua Pegawai Eksekutif TRXC, Datuk Azmar Talib dan Ketua Pegawai Operasi TRXC, Tan Hwa Min.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum ini mengumumkan bahawa TRX merupakan antara projek yang akan dikaji untuk mengurangkan perbelanjaan awam terutama dengan keadaan hutang negara yang dikatakan berjumlah RM1 trilion atau 65 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

TRX, iaitu satu projek pembangunan oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di tengah-tengah ibu kota sebagai pusat kewangan antarabangsa dan perniagaan.

Pelan utamanya melibatkan sejumlah 26 bangunan dan keluasan lantai berjumlah 21 juta kaki persegi merangkumi unit-unit pejabat, kediaman, hotel, premis runcit, makanan dan minuman serta ruang kebudayaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini