MOSCOW 20 Jun – Portugal berada di landasan terbaik untuk melangkah ke pusingan kedua selepas meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Maghribi dalam aksi Kumpulan B di Stadium Luzhniki yang menyaksikan Cristiano Ronaldo kini telah mengumpul empat gol untuk berada di kedudukan teratas penjaring terbanyak Piala Dunia 2018 ketika ini.
Kemenangan Portugal itu membolehkan skuad Selecao das Quinas mengumpul empat mata selepas dua perlawanan dan kini tiada pilihan selain harus mendapatkan kemenangan ke atas Iran pada Selasa dalam aksi terakhir Kumpulan B andai mahu menamatkan saingan dalam kelompok dua terbaik.
Selain Portugal, Sepanyol dan Iran juga dilihat berpeluang untuk merebut kelompok dua terbaik Kumpulan B.
Bagi Maghribi pula peluang mereka untuk melangkah ke pusingan kedua Piala Dunia 2018 dilihat sudah tertutup selepas gagal mendapatkan sebarang mata dalam dua perlawanan berlangsung.
Dalam perlawanan tersebut Portugal tidak menunggu lama untuk mendapatkan jaringan menerusi tandukan pemain bintangnya Ronaldo pada minit keempat.
Gol tersebut hadir selepas Ronaldo memanfaatkan hantaran daripada Joao Moutinho menerusi sepakan sudut dan itu juga adalah gol keempat pemain Real Madrid tersebut dalam kempen Piala Dunia di Rusia sekali gus membolehkan dia kekal sebagai penjaring terbanyak ketika ini.
Jaringan awal Portugal itu membuatkan Maghribi cuba untuk menyamakan kedudukan dan dilihat melakukan beberapa percubaan di gawang Selecao das Quinas pada babak pertama perlawanan.
Corak permainan Maghribi juga dilihat lebih baik berbanding ketika tewas kepada Iran dalam aksi pertama kumpulan, Jumaat lalu.
Penguasaan bola dalam aksi hari ini juga memihak Maghribi berbanding Portugal namun nasib tidak menyebelahi skuad Atlas Lions apabila terpaksa menerima kekalahan tipis berkenaan.
Selepas ini Maghribi dijadual menentang Sepanyol pada Selasa manakala Portugal akan menentang Iran pada hari yang sama. – AGENSI











