KUALA LUMPUR – Hasrat untuk membantu penduduk di kawasan luar bandar dan kaum wanita terutamanya, menjadi usahawan stesen minyak kecil-kecilan telah menguatkan semangat Datuk Azmin Mustam Abdul Karim untuk membangunkan perniagaan stesen minyak mini.
Menerusi penubuhan Petro Teguh (M) Sdn. Bhd. (Petro Teguh) pada tahun 2003, Azmin Mustam, 49, kini terus melangkah beberapa tapak di hadapan dengan membangunkan teknologi Sistem Kontena Mudah Alih (PCS).
PCS merupakan sebuah stesen minyak mudah alih yang memberi peluang kepada penduduk luar bandar menjadi pengusahanya.
Menurut Pengarah Urusan syarikat tempatan itu, bagi mereka yang ingin mengusahakan PCS, mereka hanya memerlukan modal sekitar RM650,000 hingga RM750,000 dengan kemudahan pembiayaan turut disediakan oleh bank yang mengambil bahagian.
“Misalnya, seorang penduduk luar bandar yang mempunyai tanah terbiar di hadapan rumah boleh memohon untuk menjadi pengusaha stesen PCS kerana cirinya yang mudah alih serta tidak memerlukan tangki bawah tanah untuk menyimpan minyak.
“Dengan hanya tiga hari diperlukan untuk memasang kontena tersebut, pengusaha boleh mengendalikan stesen minyak mudah alih itu dengan cara sama seperti stesen minyak yang lain pada kos operasi yang sangat rendah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu temu bual di sini baru-baru ini.
Azmin Mustam menjelaskan, Petro Teguh menyasarkan persatuan nelayan, koperasi, persatuan setempat, orang persendirian, terutamanya kaum wanita atau ibu tunggal untuk menjadi pengusaha PCS kerana ia dapat membantu meningkatkan taraf ekonomi mereka.
“Dengan hanya mengusahakan perniagaan ini di hadapan atau berdekatan dengan rumah mereka misalnya, mereka kini tidak perlu bekerja di bandar dan hanya menjalankan perniagaan sendiri.
“Dalam masa sama, mereka turut membantu penduduk setempat untuk mendapatkan bekalan minyak petrol tanpa perlu pergi ke bandar-bandar yang jauh dari perkampungan mereka,” jelasnya.
Ujar Azmin Mustam, PCS dan stesen minyak mini disediakan khusus untuk kawasan luar bandar, pulau-pulau atau kampung-kampung terpencil, terutamanya jeti nelayan bagi membantu penduduk sekitar mendapatkan bekalan petrol pada harga sama dengan harga runcit.
“Saya melihat penduduk kawasan terpencil sering menjadi mangsa orang tengah yang menjual minyak petrol pada harga lebih tinggi daripada harga runcit yang ditetapkan kerajaan kerana mereka menghantar bekalan petrol menggunakan trak pikap dari satu kawasan ke satu kawasan.
“Menyedari masalah ini, saya memperkenalkan konsep stesen minyak mini dan PCS, khusus untuk membantu penduduk mendapatkan petrol pada harga runcit, terutamanya para nelayan yang berhak mendapatkan harga subsidi daripada kerajaan,” katanya.
Malahan tambahnya, penduduk tidak perlu risau kerana PCS mempunyai jaminan keselamatan iaitu sijil antarabangsa dan tempatan termasuk daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, Majlis Keselamatan Malaysia dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja Malaysia.
“Ia juga sesuai untuk alam sekitar, di mana potensi kebocoran dan pencemaran adalah sangat rendah terutamanya jika PCS dibina di jeti atau sungai,” terangnya.
Dalam pada itu, ditanya mengenai antara cabaran yang dilalui dalam membangunkan sistem tersebut, Azmin Mustam berkata, ia adalah menjurus kepada sudut penjenamaan dan persepsi terhadap produk tersebut.
“Sebagai satu-satunya pemain dalam segmen pasaran khusus ini di Malaysia, Petro Teguh perlu membina jenama yang kukuh di negara ini bagi membolehkannya diterima pakai di seluruh negara.
“Justeru, kami komited untuk turut bekerjasama dengan syarikat korporat seperti Dagang NeXchange Bhd. dan agensi-agensi kerajaan.
“Antaranya ialah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia dan Lembaga Pertubuhan Peladang untuk mengkomersialkan perniagaan ini.
“Ia secara tidak langsung dapat mewujudkan program transformasi luar bandar dan membuka peluang kepada penduduk luar bandar untuk meneroka pelbagai bidang sosio-ekonomi baharu,” ujarnya.
Mengulas mengenai misi dan visi jangka panjangnya, Azmin Mustam menjelaskan, hasratnya adalah untuk menjadikan Petro Teguh sebagai pemain utama dalam pasaran khusus tersebut di peringkat serantau.
“Kami baru-baru ini telah menandatangani perjanjian dengan wakil dari Filipina untuk membawa masuk 35 PCS di negara tersebut sehingga akhir tahun ini dengan kontrak bernilai RM28 juta.
“Kami akan terus mengintai peluang yang ditawarkan di negara lain terutamanya yang memiliki banyak kepulauan seperti Filipina dan Indonesia kerana bersesuaian dengan ciri-ciri PCS yang ditawarkan,” ulasnya.











