Toyota labur RM4 bilion dalam Grab - Utusan Malaysia

Toyota labur RM4 bilion dalam Grab

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 13 Jun – Pengeluar kereta dari Jepun, Toyota Motor Corporation (Toyota) melabur sebanyak AS$1 bilion (RM4 bilion) dalam syarikat perkhidmatan e-hailing, Grab Holdings Inc. (Grab).

Presiden Grab, Ming Maa berkata, Grab dan Toyota akan mengukuhkan serta mengembangkan kerjasama sedia ada dalam segmen kenderaan terhubung bagi memacu penyelesaian mudah alih baharu merentasi rantau Asia Tenggara.

Jelas beliau, pelaburan itu merupakan yang terbesar dibuat oleh Toyota dalam sektor e-hailing di mana ia akan membantu Grab untuk mencapai matlamat yang lebih besar bagi iaitu menjadi platform mudah alih sehenti.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Grab merancang untuk bekerjasama dengan rakan niaga bagi mewujudkan kecekapan dalam rangkaian pengangkutan yang secara tidak langsung membantu mengatasi masalah kesesakan trafik di bandar-bandar besar. Selain itu, akses perjalanan menjadi lebih mudah dan membantu meningkatkan pendapatan pemandu.

“Pelaburan ini juga membuka ruang kepada kami untuk mengembangkan lagi pelbagai perkhidmatan dalam dan luar talian (O2O) seperti GrabFood dan GrabPay,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Grab beroperasi di 217 bandar di lapan buah negara Asia Tenggara dan menawarkan pelbagai perkhidmatan seperti pengangkutan dengan tambang yang berpatutan, penghantaran makanan dan bungkusan, pembayaran mudah alih dan perkhidmatan kewangan melalui aplikasi mudah alih Grab.

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif Toyota, Shigeki Tomoyama berkata, perancangan masa hadapan bersama Grab adalah untuk membangunkan perkhidmatan yang lebih menarik, selamat dan terjamin untuk pelanggan.

Beliau yang juga Presiden Syarikat Kereta Terhubung Toyota memberitahu, kedua-dua belah pihak akan bekerjasama bagi mencari kaedah terbaik untuk menghubungkan perkhidmatan kereta kepada Platform Servis Mudah Alih Toyota (MSPF).

“Antara perkhidmatan yang ditawarkan ialah insurans berasaskan pengguna, program pembiayaan dan penyelenggaraan di mana ia membantu meningkatkan lagi pengalaman pemandu di platform Grab.

“Toyota dan Grab juga akan melancarkan perkhidmatan kereta terhubung seperti insurans berasaskan telematik yang membantu mengurangkan kos premium insurans untuk pemandu,” kata beliau.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini