KUALA LUMPUR – Seorang pengawal keselamatan maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas sebelum dia terjatuh dari ketinggian lebih empat meter dalam satu kemalangan di bulatan Batu Caves di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 9.50 pagi itu, mangsa, Ranjit Singh Balbir Singh, 45, maut di lokasi kejadian manakala pemboncengnya, seorang lelaki warga Pakistan mengalami kecederaan parah di kepala.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal jenis Honda EX-5 yang ditunggangi mangsa terbabas sendiri sebelum melanggar pembahagi jalan.
Katanya, akibat pelanggaran itu mangsa tercampak sebelum terjatuh dari ketinggian kira-kira empat meter dari bulatan Batu Caves ke Jalan Ipoh.
“Mangsa bersama seorang lelaki warga Pakistan dikatakan dalam perjalanan pulang dari tempat kerja mereka di Kepong.
“Mangsa maut di lokasi kejadian manakala rakannya mengalami kecederaan parah di kepala dan dikejarkan ke Hospital Selayang untuk rawatan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Tambah Zulkefly, mayat Ranjit Singh dihantar ke Unit Forensik Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat. – K! ONLINE











