KOTA KINABALU – Seramai 21 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah termasuk Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Tan Sri Musa Aman memboikot sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) khas yang berlangsung di Dewan Bangunan DUN di sini semalam.
Mereka terdiri daripada 11 ADUN daripada UMNO, enam (Parti Bersatu Sabah) dan dua daripada Parti Solidariti Tanah Airku serta masing-masing seorang daripada Pertubuhan Pasokmomogun Kadazan Dusun Murut dan Parti Bersatu Rakyat Sabah.
Tindakan memboikot itu dibuat kerana mereka mendakwa sidang DUN khas Sabah tersebut menyalahi undang-undang selain cuba menggagalkan writ saman yang difailkan oleh bekas Ketua Menteri Sabah, Musa terhadap Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin pada 5 Jun lalu.
Writ saman berkenaan dibuat selepas mendakwa pelantikan Mohd. Shafie sebagai Ketua Menteri di hadapan Tun Juhar di Istana Negeri pada 12 Mei lalu adalah tidak mengikut Perlembagaan.











