PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan membekukan semua pertukaran dalaman di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di seluruh negara berkuat kuasa serta-merta.
Menterinya, Dr. Maszlee Malik (gambar) berkata, keputusan itu dibuat berikutan terdapat maklumat wujudnya percaturan politik dalam pertukaran tersebut.
Menurutnya, JPN serta PPD juga didakwa telah digunakan sebagai alat politik oleh kerajaan terdahulu.
“Pihak kami mendapat maklumat ada usaha menempatkan pegawai yang setia kepada kerajaan terdahulu di jawatan strategik di JPN dan PPD yang dikhuatiri bertujuan mensabotaj usaha kementerian dan kerajaan baharu dalam membawa pembaharuan kepada sistem pendidikan negara.
“Ini adalah perkara yang mengecewakan kerana saya tidak mahu politik kepartian sempit mempengaruhi institusi-institusi pendidikan yang bakal membentuk masa depan anak-anak kita,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Maszlee memberitahu, pihaknya juga mengenal pasti tiga negeri di utara dan pantai timur yang aktif melakukan usaha tersebut namun beliau tidak mendedahkan negeri-negeri terlibat.
“Saya telah mengarahkan pegawai tertinggi kementerian untuk menyemak semula semua kenaikan pangkat dan pertukaran di peringkat JPN dan PPD di seluruh negara yang berlaku dalam tempoh dua bulan lalu.
“Kita tidak akan berkompromi dengan sebarang anasir yang mahu membawa unsur-unsur tidak sihat dalam sistem pendidikan negara terutamanya mereka yang mahu menyukarkan kita melakukan transformasi selaras dengan dasar kerajaan Pakatan Harapan,” ujarnya.











