Sebagai seorang tukang masak yang bekerja di sebuah restoran mewah, Douglas McMaster, 31, melihat ratusan salad dikupas untuk dijadikan hiasan sebelum lebihan makanan itu dibuang ke dalam tong sampah pada setiap hari.
Situasi itu mendorong McMaster untuk membuka restoran sifar sisa makanan pertama di Britain.
Ia adalah antara kedai makan yang berhasrat untuk mengurangkan sisa makanan ketika jutaan manusia lain bergelut bagi mendapatkan makanan.
“Ketika berbicara soal sifar sisa makanan, kami terfikir untuk tidak memiliki tong sampah,” kata McMaster yang memenangi anugerah cef muda tahunan daripada syarikat penyiaran BBC pada tahun 2009.
Sisa makanan yang semakin meningkat dianggap sebagai tidak beretika ketika dunia kian berhadapan krisis kebuluran, kemusnahan alam sekitar dan tapak pelupusan sampah.
Peningkatan sisa makanan juga akan melepaskan gas bumi hijau serta pembaziran tenaga asli.
Menurut laporan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pembuangan sisa makanan di peringkat global pada setiap tahun mencatat angka satu pertiga daripada makanan yang dihasilkan dengan nilai kira-kira AS$1 trilion (RM3.98 trilion).
Menyelamatkan sebahagian kecil daripada angka itu sudah memadai untuk menyuap kira-kira 815 juta manusia yang kelaparan di seluruh dunia pada setiap hari.
Menyelesaikan masalah pembaziran juga mampu memenuhi keperluan populasi global sehingga 9.8 bilion pada tahun 2050 daripada jumlah kini 7.6 bilion.
Para cef di Britain pula dituduh menyumbang kepada pembaziran di dalam dapur itu sebanyak 10 peratus pada setiap tahun.
Begitupun, jumlah pengusaha dan inovator yang bekerjasama untuk menyelesaikan isu itu semakin meningkat.
Jana pendapatan
Kesedaran pelanggan yang menyokong penuh usaha mengurangkan pembaziran makanan semakin bertambah menjelang tahun 2030.
Sebilangan cef terkenal seperti Jamie Oliver dan Hugh Fearnley-Whittingstall menggunakan status selebriti untuk meningkatkan kesedaran atau berkempen.
Individu lain pula mengetengahkan konsep restoran baharu seperti dapur umum dan perusahaan sosial yang mengubah sisa makanan kepada hidangan baharu.
McMaster pula membuka restorannya di Solo, Brighton pada tahun 2014 yang mendapat bekalan daripada peladang tempatan.
Beliau cuba mengelak daripada membungkus makanan dan menggunakan semua bahan mentah ke dalam masakan termasuk bahan sampingan.
Katanya, lebihan dadih susu daripada keju akan digunakan untuk sos kentang manakala kerak roti akan dijadikan sup miso.
“Bagi lebihan yang tidak boleh dimasak seperti kulit telur dan tulang, ia akan dijadikan baja kompos yang kemudian diserahkan kembali kepada peladang.
“Setiap benda semula jadi ini mempunyai tujuannya, maka kita perlu mencari apa tujuan sesuatu elemen itu,” jelasnya lagi.
McMaster menyedari restorannya hanya memberikan impak yang sedikit bagi memerangi masalah pembaziran makanan di peringkat global, namun dia tetap berharap ia mampu menjadi ikutan pengusaha lain.
Menurut pemikir Institut Sumber Dunia (WRI), Liz Goodwin, mengurangkan pembuangan sisa makanan adalah baik untuk perniagaan seperti restoran, hotel dan perkhidmatan katering.
Laporan pada tahun 2017 menunjukkan pengurangan pembuangan sisa makanan menjana pendapatan dan mengurangkan kos perniagaan.
Rentetan itu, rantaian pengendali makanan terbesar dunia seperti KFC dan Nando’s turut komited mengurangkan sisa makanan tersebut.
Malangnya, kebanyakan keluarga di rumah-rumah masih lagi menghasilkan 70 peratus sisa makanan.
Sajian mewah
“Saya berharap para cef dapat mempengaruhi semua keluarga untuk sama-sama membantu kempen sifar sisa makanan.
“Sekiranya cef menekankan kepentingan untuk tidak membazir, mesej itu akan dibawa pulang oleh pelanggan mereka,” jelasnya.
Pada Jun 2017, cef bintang Michelin, Massimo Bottura dari Itali membuka restoran baharu di kota London iaitu Refettorio Felix.
Uniknya, ia tidak menggalakkan sajian mewah tetapi hanya memasak hidangan untuk golongan miskin yang bahan-bahannya diambil daripada lebihan pasar besar.
Pengunjung tidak perlu beratur untuk mengambil makanan tetapi ia akan dihidangkan terus ke meja yang dihasilkan oleh pereka tempatan.
Bottura dan 50 lagi cef terkemuka telah memasak di restoran itu dengan sebilangan resipi dan tip memasaknya disusun menjadi buku masakan.
Buku itu mampu mendidik orang ramai untuk mengurangkan sisa makanan di rumah.
“Kami lakukan revolusi yang membawa etika ini ke dalam dapur.
“Kami perlu lihat bahan-bahan masakan yang terdapat di dapur daripada satu sudut berbeza.
“Sebagai contoh, buah tomato yang terlalu masak tidak sesuai dijadikan salad tetapi boleh digunakan sebagai sos,” katanya. – Reuters











