PUTRAJAYA 11 Jun – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya mematahkan cubaan menyeludup dadah jenis methamphetamine seberat 401 kilogram bernilai RM29 juta di Kuala Perlis pada 24 Mei lalu.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Datuk Seri Zulkifli Abu Bakar berkata, kejayaan itu merupakan hasil Operasi Pagar Laut 2018 yang dilancarkan pada awal Ramadan bagi mengawasi perairan negara daripada diceroboh oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Ia merupakan rekod rampasan dadah terbesar yang dicatatkan Maritim Malaysia setakat ini. Saya percaya tangkapan ini juga telah memecahkan rekod jumlah rampasan dadah di perairan negara, katanya dalam satu kenyataan di sini,” hari ini.
Menurut Zulkifli, Operasi Pagar Laut 2018 juga menyaksikan dua lagi siri kejayaan mematahkan cubaan oleh pihak tertentu melakukan kegiatan jenayah di kawasan maritim tanah air.
Katanya, pada awal pagi 1 Jun lalu, Maritim Malaysia sekali lagi berjaya menumpaskan cubaan merompak kapal tangki MT Lee Bo di perairan Mersing, Johor.
“Operasi gempur itu berjaya memberkas sebanyak 14 perompak warga Indonesia bersama hasil rompakan.
“Atas kerjasama erat bersama Western Fleet Quick Response (WFQR) Tentera Indonesia-Angkatan Laut (TNI-AL), tiga individu dipercayai dalang rompakan telah ditangkap di Batam, Indonesia,” katanya.
Zulkifli memaklumkan, Maritim Malaysia tanpa gagal berjaya melaksanakan penguatkuasaan secara berterusan terhadap kegiatan mencuri hasil laut negara apabila 10 bot nelayan asing Vietnam di Pantai Timur sepanjang Ramadan ini.
“Kejayaan ini amat bermakna kerana para anggota dan anggota Maritim Malaysia tetap menjalankan tanggungjawab tanpa mengira masa meskipun dalam bulan Ramadan demi negara dan rakyat Malaysia,” katanya.
Sementara itu, beliau juga mengumumkan kenaikan pangkat 171 anggota lain-lain pangkat Maritim Malaysia yang terdiri daripada 17 Pegawai Waran I (M), 24 orang Pegawai Waran II (M), 43 anggota Bintara Kanan (M) dan 87 lagi diberi pemangkuan Bintara Muda (M).











