ALOR SETAR – Seramai 3,800 anggota dan pegawai polis serta agensi luar terlibat dalam Op Selamat 13/2018 sempena sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri di negeri ini bermula 8 Jun lalu hingga 22 Jun ini.
Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, Senior Asisten Komisioner Senior Asisten Komisioner Dr. Zainal Abidin Sabtu berkata, anggota dan pegawai polis terbabit bertugas di cawangan trafik, Jabatan Siasatan Jenayah, cawangan kereta peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dari seluruh negeri ini.
Menurutnya, antara agensi luar yang terlibat adalah Jabatan Pengangkutan Jalan, Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam, pihak berkuasa tempatan serta PLUS Malaysia Bhd. (PLUS).
“Anggota dan pegawai polis serta pasukan sahabat itu akan melakukan rondaan Ops Selamat di 18 lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan panas dan 11 lokasi perancangan pondok statik di 11 buah daerah.
“Selain itu, mereka juga akan ditempatkan di lima lokasi yang kerap berlaku kemalangan di Lebuh Raya Utara-Selatan di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Op Selamat 13/2018 sempena sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri di pekarangan Kompleks Pekan Rabu di sini sebentar tadi. – K! ONLINE











