MAYC mula bina semula rumah kandang kambing milik ibu tunggal - Utusan Malaysia

MAYC mula bina semula rumah kandang kambing milik ibu tunggal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG – Kehidupan ibu tunggal tujuh anak, Ruslida Kamarazaman, 38, yang tinggal di kandang kambing setelah bercerai dengan suaminya setahun lalu akhirnya terbela apabila rumahnya di Kampung Batu 5, di sini dibaik pulih bermula semalam.

Ruslida berkata, dia gembira bercampur terharu kerana nasib malang yang dihadapinya mendapat perhatian banyak pihak.

Katanya, sejak semalam, Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) bersama 15 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan 10 sukarelawan belia membina semula rumah itu supaya lebih selesa.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Buat sementara waktu, saya bersama tiga anak terpaksa menumpang di rumah ibu tidak jauh dari situ sebelum rumah yang dalam pembinaan siap.
     
“Saya begitu terharu dengan keperihatinan pelbagai pihak yang tidak putus-putus menghulurkan sumbangan seperti makanan, bantuan kewangan dan keperluan lain termasuk tilam dan bantal,” katanya di sini hari ini.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan kisah mengenai kehidupan keluarga Ruslida yang terpaksa tinggal di kandang kambing kerana kemiskinan.

Tambah Ruslida, langkah pihak MAYC yang sanggup membina baru rumah itu di lokasi yang sama dapat membantunya untuk terus mencari rezeki dengan mengambil upah menoreh getah di kampung berkenaan.

Katanya lagi, dia banyak menerima tawaran untuk tinggal di rumah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) tetapi kedudukannya di luar kampung berkenaan menyukarkannya untuk mencari rezeki dengan mengambil upah menoreh getah.

“Bagaimanapun saya bersyukur kerana masalah yang saya hadapi semakin selesai apabila rumah baharu dibina secara gotong-royong oleh pihak terbabit,” katanya.

Sementara itu, Presiden MAYC Kebangsaan, Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, proses pembinaan tempat tinggal keluarga Ruslida berjalan lancar.

“Kita akan mengambil masa beberapa hari untuk menyiapkan rumah berkenaan dan kita jangka mereka dapat menyambut Aidilfitri di rumah baharu nanti,” katanya. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini