KUALA TERENGGANU – Pengguna diminta membuat aduan kepada Kementerian Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Terengganu sekiranya terdapat sebarang penipuan atau manipulasi harga yang dilakukan oleh peniaga selepas penetapan sifar peratus Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Pengarahnya, Saharuddin Mohd. Kia berkata, sebanyak 11 aduan direkodkan atas pelbagai kesalahan di seluruh negeri Terengganu bermula 1 Jun sehingga semalam.
“Setakat ini kita telah menerima 11 aduan melibatkan daerah Kuala Terengganu, Dungun serta Kemaman dengan mengeluarkan notis dibawah Seksyen 53A dan Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
“Kesalahan yang direkod membabitkan kegagalan peniaga menukar tanda harga selain masih mengekalkan harga barang dengan kadar enam peratus GST,” katanya.
Beliau berkata demikikan kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2018 di Sabasun HyperRuncit, Wakaf Tembesu hari ini.
Jelas Saharuddin, pegawai penguatkuasa akan menjalankan pemeriksaan dalam tempoh 24 jam sejurus menerima aduan daripada pelanggan.
“Dari masa ke semasa kita sentiasa ingatkan pengguna supaya menyalurkan aduan kepada pihak KPDNKK sekiranya berlaku ketidakpatuhan atau manipulasi harga oleh peniaga di kawasan mereka,” ujarnya. – K! ONLINE











