KUALA LUMPUR 9 Jun – Desakan untuk ‘meremajakan’ semula UMNO semakin lantang kedengaran sejak kebelakangan ini apabila banyak pihak mahukan perubahan besar berlaku dalam parti itu.
![]() |
|
NUR FAEZAH
|
Bertitik tolak kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu, para ahli terutamanya di peringkat akar umbi mahu melihat UMNO bingkas bangkit dengan kepimpinan baharu yang lebih segar.
Naib Presiden Wanita Gerakan Belia 4B, Nur Faezah Fazal menegaskan, UMNO sepatutnya mencontohi penajaan Puteri UMNO pada tahun 2000 yang mana ketika itu, memberi kepercayaan kepada anak-anak muda untuk aktif dalam parti.
“Pada ketika itu, Puteri UMNO dilihat berjaya menarik ramai anak muda yang berusia bawah 30 tahun untuk menyertai politik dan menjadi pengemudi sayap UMNO.
“Kini UMNO perlu melakukan perubahan dalam kepimpinan sekarang terutamanya dalam pemilihan pucuk pimpinan tertinggi parti yang akan datang kerana golongan anak muda yang merupakan 42% pengundi di Malaysia mahukan satu nafas baharu.
“Oleh itu, satu anjakan secara drastik perlu dilakukan. Untuk pemilihan parti yang bakal diadakan pada penghujung bulan ini, tiba masanya UMNO menerima golongan anak muda di bawah usia 30 tahun untuk menjadi sebahagian daripada kepimpinan bukan hanya di peringkat cawangan dan bahagian malah di peringkat tertinggi,” katanya dalam satu kenyataan kepada Utusan Online.
Nur Faezah yang turut menawarkan diri untuk bertanding bagi jawatan Naib Ketua Puteri dalam pemilihan parti kali ini, turut menegur sikap tidak setia kepada parti termasuk wakil rakyat yang lompat parti selepas Barisan Nasional (BN) tewas dalam PRU-14.
“Keputusan PRU-14 membuka mata ahli UMNO terhadap sebilangan pemimpin yang akhirnya menunjukkan raut wajah sebenar mereka di sebalik topeng yang dipakai.
“Mereka menyokong kepimpinan kerajaan semasa dan menyertai parti lawan. Sikap yang ditonjolkan oleh golongan ini telah memberi pandangan negatif kepada rakyat dan ahli parti sendiri.
“Pemimpin dan ahli setia UMNO perlu bangkit bukan sahaja membersihkan tetapi juga mempertahankan parti. Walaupun terdapat suara-suara sumbang yang menyatakan UMNO tidak lagi releven, perkara itu tidak benar sama sekali,” tegasnya. – UTUSAN ONLINE












