Lubuk Bayas tarikan baharu di Hulu Terengganu - Utusan Malaysia

Lubuk Bayas tarikan baharu di Hulu Terengganu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU 7 Jun – Kawasan Lubuk Bayas di kampung Menerong yang terletak lebih kurang 60 kilometer dari Kuala Terengganu makin menyerahkan daya tarikannya kepada umum dengan pemandangan flora dan fauna yang dalam persekitaran indah, tenang dan mendamaikan.

Air yang jernih dingin dan hamparan pasir memutih dan bersih, belum terusik oleh pembangunan, ia menawarkan destinasi riadah yang makin menjadi sebutan.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Zainuddin Mohd berkata, kawasan perkelahan Kampung Me­nerong pada mulanya dibuka oleh penduduk kampung tersebut sekadar untuk memenuhi kegiatan penduduk di kawasan itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Namun dari semasa ke semasa ia semakin terkenal dan sesuai dijadikan pusat perkelahan umum kerana kedudukannya yang strategik di Kampung Menerong merupakan Pusat Pertumbuhan Mukim bagi Kawasan Hulu Berang.

“Di sini tiada lubuk atau arus deras dan kedalaman airnya sesuai untuk semua peringkat umur, jadi tiada kebimbangan keluarga untuk risiko berlaku lemas maka saya mengesyorkan kepada orang ramai untuk datang berkunjung ke sini,” katanya kepada Utusan Malaysia di Kampung Menerong, di sini semalam.

Katanya, kemudahan turut disediakan seperti tandas, tempat persalinan dan wakaf bagi kegunaan pengunjung termasuk kedai makanan yang berhampiran.

“Kita juga sedang bangunkan tempat pertumbuhan desa yang menyediakan pelua­ng dari segi kemudahan untuk membeli hasil pro­duk penduduk Hu­lu Be­rang.

“Pusat ini juga akan berope­rasi sebagai pusat pe­ngelua­ran bahan ma­kanan seperti pisang, jagung serta ternakan lembu susu,” katanya.

Seorang pengunjung, Yuthnil Akmal Che Mat Duzki, 48, dari Felda Bukit Ba­ding berkata, Lubuk Bayas menjadi pusat perkelahan utama keluarga setiap kali tiba cuti sekolah.

“Saya dan keluarga datang ke sini kerana suasananya nyaman, air jernih, landskap semula jadi menarik dan per­sekitarannya selamat untuk anak-anak mandi-manda.

“Kami datang beramai-ramai untuk berkelah sambil melihat anak-anak mandi. Keseronokan mereka memang tidak dapat digambarkan. Berkunjunglah dan nikmati keindahan semula jadi di Lubuk Bayas,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini