Peluang skuad emas Belgium lakar sejarah - Utusan Malaysia

Peluang skuad emas Belgium lakar sejarah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DIBARISI ramai pemain berbakat, ini adalah masa terbaik buat skuad generasi emas, Belgium membuktikan kemampuan mencabar kejuaraan Piala Dunia.

Jurulatih kelahiran Sepanyol, Roberto Martinez memiliki penyerang berbisa, Moussa Dembele dan Romelu Lukaku, selain kombinasi hebat di bahagian tengah – Eden Hazard dan Kevin De Bruyne serta penjaga gol berkualiti, Thibaut Courtois.

Skuad Red Devils turut menyenaraikan kapten mereka yang baru pulih daripada kecederaan Achilles iaitu bek tengah Manchester City, Vincent Kompany.

Memuatkan artikel berkaitan…

Empat tahun lalu, Belgium muncul juara kumpulan dalam Piala Dunia Brazil namun langkah mereka disekat Argentina di suku akhir.

Bagaimanapun, dengan pengalaman yang telah diraih dan skuad yang rata-rata dibarisi pemain sama, Red Devils bersedia melakar kejutan di Rusia.

Pengharapan tinggi turut diletak kepada negara kelahiran bola sepak, England selepas dua kegagalan mereka dalam kejohanan utama – Piala Dunia 2014 dan Euro 2016.

Memiliki liga bola sepak paling popular dan kaya di dunia, jurulatih England, Gareth Southgate bagaimanapun berdepan kesukaran untuk memilih pemain kerana rata-rata bintang Liga Perdana bukan anak tempatan.

Skuad Three Lions yang merupakan juara 1966 mempertaruhkan penyerang Tottenham, Harry Kane yang sudah meledak 12 gol daripada 23 perlawanan antarabangsa.

Turut menjadi sandaran sayap Manchester City, Raheem Sterling, bintang muda Spurs, Deli Alli, Marcus Rashford (Manchester United), Jordan Henderson (Liverpool) dan Jamie Vardy (Leicester City).

Panama yang bakal membuat penampilan sulung Piala Dunia memerlukan keajaiban untuk memburu tiket suku akhir, dan harapan mereka disandarkan kepada majoriti pemain yang berusia 30 tahun ke atas.

Kekuatan utama mereka terletak kepada penjaga gol, Jaime Penedo dan gandingan serangan, Blas Perez dan Luis Tejada, selain jurulatih yang bakal membuat penampilan ketiga Piala Dunia – Hernan Dario Gomez Colombia (1998) dan Ecuador (2002).

Sementara itu, Tunisia yang bakal kembali ke pentas Piala Dunia selepas 12 tahun turut mengintai slot dua terbaik kumpulan.

Jurulatih, Nabil Maaloul mengharapkan kumpulan pemain yang beraksi di liga luar seperti Wahbi Khazri (Rennes, Perancis) dan Aymen Abdennour (Marseille, Perancis) mampu mengetuai pasukan.

Turut menjadi sandaran penyerang berusia 27 tahun, Youssef Msakni yang beraksi buat kelab Qatar, Al-Duhail.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini