KLANG – Seorang penguat kuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) benjol di bahagian kepala akibat ditumbuk oleh seorang lelaki ketika menjalankan tugas penundaan kemalangan jalan raya di Jalan Tengku Kelana di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 10.55 pagi itu, suspek yang berusia 27 tahun dan menaiki kereta jenis Toyota Vios berhenti di hadapan kenderaan yang mengalami kemalangan tersebut.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, suspek kemudian terus menuju kepada salah seorang mangsa yang terlibat dalam kemalangan itu.
Katanya, penguatkuasa MPK berusia 36 tahun terlibat kemudiannya meminta suspek mengalihkan keretanya namun dimarahi lelaki berkenaan.
“Suspek yang tidak berpuas hati seterusnya berlari ke arah mangsa sebelum menolak dan menumbuk beberapa kali di bahagian kening sebelah kiri mangsa.
“Kejadian tersebut kemudiannya berlarutan sehingga berlaku pergelutan antara suspek dengan mangsa,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Jelas beliau, suspek tersebut berjaya ditahan lewat petang tadi.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera kepada penjawat awam. – K! ONLINE










