BINTANG dalam pembikinan, S. Sivasangari terus mengorak langkah dalam arena skuasy apabila dinobatkan sebagai Pemain Wanita Muda Terbaik Tahunan 2017/18 Persatuan Skuasy Profesional (PSA) di Kelab Golf Emirates, Dubai kelmarin.
Disebut-sebut sebagai pemain yang bakal menggantikan ratu skuasy negara, Datuk Nicol David, pemain yang berasal dari Kedah itu kini berada di ranking ke-40 dunia.
Tahun lalu, pemain berusia 19 tahun itu mengotakan janjinya untuk membantu pemain senior yang kini kekurangan wakil pada peringkat dunia apabila meraih tiga gelaran PSA dan dua pingat emas semasa Sukan SEA Kuala Lumpur tahun lalu.
Sivasangari tetap unggul apabila menamatkan karier zaman remajanya dengan menyandang gelaran juara pada Terbuka Remaja British 2018, Januari lalu.
Siri kejayaan itu menempatkannya sebagai salah seorang calon atlet yang layak digelar Olahragawati negara yang akhirnya dimenangi oleh juara terjun dunia, Cheong Jun Hoong pada Mac lalu.
Sivasangari ternyata tidak pernah lelah untuk terus menyinar apabila mencipta kejutan bersama Rachel Arnold setelah menewaskan juara dunia dua kali, Joelle King and Amanda Landers-Murphy pada Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia, April lalu.
“Pengiktirafan ini sememangnya satu penghargaan buat saya. Saya sangat bangga diberikan anugerah ini. Terima kasih kepada semua yang mengundi, menyokong dan para juri yang bersetuju dengan keputusan ini.
“Kini, tiba masa untuk terus bangkit dan berusaha lebih gigih untuk melihat kejayaan apa lagi yang boleh diraih,” luahnya di laman sosial Instragramnya.
Sivasangari dijangka menyertai Kejohanan Kebangsaan di Kompleks Skuasy Bukit Jalil, Kuala Lumpur dari 4 hingga 8 Julai sebelum turun bersama Low Wee wern, Aifa Azman dan Rachel Arnold di pentas Sukan Asia 2018 di Jakarta dan Palembang pada Ogos.











