‘Malapetaka’ Fajer di Kelantan - Utusan Malaysia

‘Malapetaka’ Fajer di Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JURULATIH Kelantan, Fa­jer Ibrahim menghadiahkan ‘malapetaka’ buat pasukan itu apabila melepaskan jawatannya berkuat kuasa serta-merta selepas transformasi yang dilakukan menemui jalan buntu.

Surat peletakan jawatan yang bertulisan tangan itu dikirimkan kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan menerusi aplikasi WhatsApp.

Dalam surat tersebut, pe­ngendali kelahiran Syria itu mendedahkan, kekurangan kemudahan latihan menjadi punca utama dia melepaskan jawatan tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kata Fajer, kekurangan kemudahan itu memberikan kesukaran untuk menjalankan tugas dan menyediakan pasukan mengharungi saingan Liga Super.

“Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada pasukan Kelantan,” ujarnya.

Tindakan Fajer itu dilihat sebagai jalan singkat untuk melepaskan diri setelah transformasi yang dilakukan sebelum ini telah membinasakan The Red Warriors (TRW) musim ini.

Sebaik sahaja mengambil tugas daripada Sathit Bensoh, Fajer yang diberikan kuasa mutlak oleh KAFA bertindak luar kawalan apabila melakukan pembersihan besar-besaran dengan menyingkirkan beberapa tonggak utama TRW antaranya Khairul Fahmi Che Mat, Mohd.

Badhri Radzi, Nik Mohd. Shahrul Azim Ab. Halim, Amirridwan Taj Tajuddin dan ramai lagi.

Penyingkiran itu bagi memberikan peluang kepada ‘ubi-ubi muda’ yang cetek pengalaman untuk membarisi pasukan.Bagaimanapun usaha Fajer itu gagal.

Selepas mengharungi 13 perlawanan, Kelantan kini menghuni tangga tercorot Liga Super dengan mengumpul lapan mata dan kekalahan itu menyaksikan Kelantan semakin hampir untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Liga Super musim depan.

Sementara itu, Bibi Ramjani ketika dihubungi Kosmo! mengesahkan peletakan jawatan Fajer sebagai pengendali TRW.

Katanya, buat sementara waktu kekosongan yang ditinggalkan oleh Fajer itu akan digalas oleh Yusri Che Lah.

“Yusri akan pangku tugas ini dalam tiga perlawanan dan saya akan bertemu dengan beliau terlebih dahulu sebelum membuat keputusan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini