Angkat perjuangan tokoh wanita Aceh - Utusan Malaysia

Angkat perjuangan tokoh wanita Aceh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENGGUNAKAN latar masa zaman silam iaitu ketika penjajahan Belanda di Aceh dan masa kini, Hasreeyati Ramli, 48, bijak menggabungkan kedua-dua elemen itu bagi menghidupkan jalan cerita yang penuh konflik dan cinta.

Novel Kasih Terurai Di Banda Aceh ini memberi definisi sebenar perjuangan dan bakal menjadi sumber motivasi kepada wanita yang kecewa dalam cinta.

Ramai wanita masa kini sanggup berjuang demi cinta seorang lelaki yang akhirnya mengecewakan mereka.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sebaliknya, watak wanita dalam novel ini yang diberi nama Cut Nyak Dien sanggup berjuang demi agama, bangsa dan negara.

Cerita ini dimulakan dengan zaman moden yang mengetengahkan watak utamanya bernama Aisha.

Wanita itu yang bertugas sebagai seorang peguam sering dijadikan tempat persinggahan sang kekasihnya.

Tetapi dia sabar menunggu dan setia menerima lelaki tersebut walaupun beberapa kali dikecewakan sang kekasih.

Aisha degil dan tidak mendengar nasihat sahabat baiknya kerana dia dibutakan oleh cinta yang indah.

Dia diulit rasa cinta yang menjanjikan beribu bahagia sedangkan hakikatnya Aisha sedar dia terluka.

Ketika Aisha menyiasat satu kes di Banda Aceh, dia mengalami kemalangan jalan raya dan koma.

Dalam keadaan koma itu, Aisha kembali ke zaman silam dan di situ dia bertemu dengan watak Cut Nyak Dien yang merupakan tokoh pejuang wanita Aceh.

Dia turut berjuang bersama Cut Nyak Dien demi menegakkan agama Islam dan mempertahankan tanah Aceh daripada di jajah Belanda.

Mengulas mengenai idea menghasilkan novel ini, Hasreeyati berkata, tahun lalu dia pergi ke Banda Aceh bersama pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Merbok, Kedah untuk menjalankan kerja-kerja sukarelawan.

“Sepanjang berada di situ saya berpeluang ke tempat-tempat bersejarah dan diberi penerangan mengenai kisah pejuang-pejuang di Aceh.

“Apabila petugas menceritakan mengenai kisah perjuangan Cut Nyak Dien saya berasa begitu kagum kerana sebagai seorang wanita dia mempunyai semangat waja dan keberanian yang tinggi,” tuturnya yang merupakan Setiausaha Pejabat Bahagian Hal Ehwal Pelajar, UiTM Merbok, Kedah.

Lantas ibu kepada empat orang cahaya mata itu melakukan penyelidikan mengenai tokoh wanita tersebut termasuklah kisah 34 orang Raja Aceh.

Pengalaman dan pengetahuan yang diperolehnya digarap di dalam Novel Kasih Terurai Di Banda Aceh.

Jelasnya, karya ini bukanlah bacaan yang kosong tetapi ia diselitkan dengan ilmu.

Hasreeyati ingin membuat kelainan daripada karya-karya di pasaran yang sarat dengan kisah cinta remaja dan klise.

Pun begitu, bagi menambah warna, beliau juga memasukkan unsur romantik dan komedi.

Akuinya, novel setebal 477 muka surat ini bukan mudah untuk dihasilkan apatah lagi ia berunsurkan sejarah maka, beliau perlu bijak menyusun jalan cerita supaya tidak membosankan.

“Saya cuba menggarap cerita ini secara santai dan tidak berat seperti buku sejarah tetapi tidak menghilangkan isi pentingnya.

“Kita sedar tidak ramai yang minat membaca buku sejarah dan semoga kehadiran karya ini dapat menggalakkan orang ramai untuk menyukai sejarah,” ujar anak kelahiran Kedah itu.

Hasreeyati ingin membangkitkan semangat wanita menerusi naskhah ini dan menyeru mereka agar keluar daripada kekecewaan.

Terang Hasreeyati, apabila kita dilanda kekecewaan guna akal dan bukannya perasaan.

Novel yang berharga RM32 ini merupakan terbitan Hasreeyati sendiri dan orang ramai yang ingin mendapatkan naskhah ini boleh menghubungi beliau secara terus dan online.

Berbicara mengenai perancangan akan datang, ibu tunggal itu memberitahu, beliau bakal menerbitkan karya terbaharunya selepas Hari Raya Aidilfitri ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini