Pukul gendang amalan tradisi kejutkan sahur - Utusan Malaysia

Pukul gendang amalan tradisi kejutkan sahur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEAWAL pukul 1 pagi, Al Hussain menyelusuri jalan-jalan yang lengang di sekitar bandar Rawalpindi, Pakistan.

Berbekalkan pengalaman, dia memecah kesunyian pada waktu pagi itu dengan memukul gendang bagi mengejutkan penduduk untuk bangun bersahur.

“Bangun dan makan sahur!” laungnya sambil membunyikan gendang mengikut irama yang diinspirasikan daripada lagu tradisional Bhangra.

Memuatkan artikel berkaitan…

Lagu Bhangra merupakan muzik popular di Pakistan dan muncul sejak pertengahan abad ke-20.

Istilah bhangra pada asalnya merujuk kepada tarian yang dilakukan oleh Sikh dan lelaki Islam di daerah pertanian wilayah Punjab di Asia Selatan. Muzik yang dihasilkan daripada paluan gendang dhol tersebut biasanya dimainkan ketika majlis keraian atau perayaan masyarakat Punjabi.

Sudah menjadi rutin bagi Hussain untuk berjalan di lorong-lorong di belakang kawasan lama bandar itu bagi mengejutkan penduduk pada bulan Ramadan sejak 35 tahun lalu.

Golongan ibu dan kanak-kanak akan menjengah keluar tingkap untuk melihat pemukul gendang itu manakala individu yang menyapanya di jalan-jalan akan menghulurkan sedikit wang sebagai tanda terima kasih atas perkhidmatan yang ditawarkan.

Bagaimanapun, tradisi itu sudah menjadi sesuatu janggal di Pakistan.

Berjuta-juta penduduk Islam di Pakistan akan berpuasa pada bulan yang mulia itu. Negara itu memulakan ibadah puasa pada 17 Mei lalu.

Mereka menahan diri daripada makan dan minum bermula matahari terbit sehingga berbuka puasa pada waktu senja.

Beberapa jam sebelum subuh, mereka akan bangun dan makan sekali lagi agar mempunyai tenaga yang cukup untuk berpuasa sepanjang hari.

Kebiasaannya, mereka yang berpuasa akan mengambil peluang untuk minum air atau jus serta menjamah sedikit makanan pada waktu sahur sebelum azan subuh berkumandang.

Masa depan

Suatu masa dahulu, pemukul gendang menjadi nadi kepada acara sahur, namun masa depan mereka berubah apabila kebanyakan warga Pakistan bergantung kepada telefon pintar.

Kini, orang ramai lebih bergantung pada penggera telefon, jam digital atau pengumuman awam melalui pembesar suara untuk bangun bersahur.

“Perlu adalah inovasi. Sekarang apabila (pemukul gendang) tidak diperlukan lagi, mereka lenyap,” kata bekas Ketua Pengarah Kebudayaan Dan Warisan Kebangsaan Pakistan, Uxi Mufti.

Setiap tahun, jumlah pemukul gendang yang keluar ke bandar dan kampung-kampung untuk mengejutkan penduduk bangun sahur di sekitar Pakistan pada bulan Ramadan semakin berkurang.

“Tidak ramai pemukul gendang yang tinggal di Rawalpindi.

“Dahulu terdapat pemukul gendang di setiap jalan tetapi kini ramai sudah tiada. Generasi muda memilih kerjaya lain,” kata Hussain ketika dia berlegar-legar di bandar yang mempunyai populasi kira-kira lima juta orang penduduk itu.

Walaupun rakan-rakan pemukul gendang yang seangkatan dengannya sudah bersara atau meninggalkan tradisi itu, lelaki berusia 66 tahun tersebut masih bertekad mahu menjaga tradisi berkenaan agar ia hidup selama mungkin.

Usahanya membuatkan dia disayangi penduduk sekitar.

“Ia menghidupkan kembali (kenangan) nenek moyang dan budaya, jadi kami menikmatinya dengan cara yang sama,” kata Yasir Butt.

Apabila Pakistan terputus bekalan kuasa elektrik, Hussain berkata, dia akhirnya lebih dipercayai daripada telefon yang menggunakan bateri.

“Ada orang yang menyuruh saya terus memukul gendang kerana mereka tidak mempercayai telefon bimbit,” katanya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini