JOHOR BAHRU – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti itu 30 Jun ini.
Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang itu berkata, penawaran dilakukan dalam keadaan UMNO berada pada paras kedudukan paling rendah, sekali gus sebagai perjuangan memastikan parti tersebut kembali disokong orang Melayu dan rakyat keseluruhannya.
“Penawaran ini memberi alternatif kepada anggota UMNO untuk membuat pilihan. Memang ramai yang menawarkan diri (bertanding). Saya harap perwakilan dapat menilai kekuatan, kemampuan dan semangat yang dapat diberikan setiap calon kerana semuanya ada kelebihan masing-masing,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Menurut Mohamed Khaled, beliau mempunyai cadangan untuk memulih dan membangunkan semula UMNO dan akan berkongsi idea itu sebelum pemilihan dan jika berkesempatan, beliau akan menjelajah ke negeri lain untuk menjelaskannya.











