Prinsip kedaulatan undang-undang: Rakyat, kerajaan sama-sama terikat - Utusan Malaysia

Prinsip kedaulatan undang-undang: Rakyat, kerajaan sama-sama terikat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PRINSIP kedaulatan undang-undang atau rule of law menjadi perhatian ramai apabila Perdana Menteri Malaysia ketujuh, Tun Dr. Mahathir Mohamad menekankan prinsip ini dalam menerajui Malaysia baharu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kedaulatan undang-undang adalah falsafah negara yang penting, berada pada kedudukan keempat dalam Rukun Negara Malaysia selepas Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara dan Keluhuran

Perlembagaan.

Kedaulatan undang-undang membawa prinsip bahawa semua orang dan institusi tertakluk dan bertanggungjawab kepada undang-undang yang sedang berkuatkuasa.

Keadilan yang diasaskan atas kedaulatan undang-undang ialah di mana setiap rakyat sama tarafnya di sisi undang-undang negara. Kebebasan asasi terjamin bagi semua warganegara Malaysia dan undang-undang negara berasaskan kepada Perlembagaan.

Prinsip utama dalam kedaulatan undang-undang ialah semua orang perlu mematuhi undang-undang kerana bukan sahaja rakyat terikat dengan undang-undang tetapi juga kerajaan. Seorang ahli falsafah perlembagaan British bernama AV Dicey telah memperkenalkan tiga elemen asas kedaulatan undang-undang.

Pertama, tiada kuasa yang boleh dilaksanakan secara sewenang-wenangnya. Kedua, mematuhi keluhuran undang-undang. Ketiga, kuasa budi bicara yang terhad.

Berdasarkan senario sekarang, prinsip dan pengertian kedaulatan undang-undang dihuraikan lebih mendalam oleh mahkamah, Parlimen dan pakar undang-undang perlembagaan dengan mengaplikasikan Prinsip Moden Kedaulatan Undang-Undang.

Prinsip baharu ini menyatakan bahawa semua undang-undang hendaklah berkesan dan berkuatkuasa ke hadapan, dan tidak ada undang-undang retrospektif, iaitu undang-undang yang memberi kesan secara kebelakang.

Undang-undang yang tidak berkesan secara ke belakang terdapat dalam Perkara 7 Perlembagaan sebagai sebahagian kebebasan asasi.

Beberapa lagi prinsip utama di bawah kedaulatan undang-undang ialah, undang-undang hendaklah stabil, iaitu ia tidak mudah berubah. Undang-undang yang jelas dan stabil tidak dibukukan dalam bentuk peruntukan dalam Perlembagaan

Persekutuan namun ia dapat dilihat dalam amalan.

Kecenderungan mematuhi kedaulatan undang-undang dapat menjamin kestabilan negara.

Sandingan kata, kedaulatan undang-undang juga merujuk kepada badan kehakiman yang bebas (Perkara 125), serta pemakaian prinsip semakan kehakiman dan kebebasan asasi (Bahagian II Perlembagaan). Ini membawa maksud pentadbiran yang

berlandaskan undang-undang; bukan yang dipelopori oleh pemerintah semata-mata.

Prinsip kebertanggungjawaban kerajaan diperuntukkan dalam Perkara 43(3) di mana Perlembagaan menyatakan bahawa kerajaan bertanggungjawab secara kolektif kepada Parlimen.

Di samping itu, prinsip kedaulatan undang-undang turut menekankan akauntabiliti kerajaan, akses yang sama ke muka pengadilan, badan kehakiman yang cekap dan undang-undang yang jelas, undang-undang umum yang stabil dan perlindungan hak asasi manusia.

Di samping itu, prinsip yang lebih terkini menurut Prof Shamrahayu A. Aziz ialah mahkamah juga harus mudah diakses oleh masyarakat, prosesnya tidak mahal dan terbuka kepada orang ramai.

Mengapa Dr. Mahathir menekankan perlunya kita merujuk kepada kedaulatan undang-undang? Ini kerana kedaulatan undang-undang dinilai melalui penguatkuasaannya. Maka, penggunaannya mestilah secara adil dan saksama serta diaplikasikan terhadap setiap rakyat tanpa gentar dan pilih kasih serta berteraskan sistem undang-undang yang telus.

Sistem dan institusi undang-undang yang berintegriti lagi telus pula bergantung kepada dukungan individu dan pengamal undang-undang yang berintegriti dan bersifat telus.

Justeru, elemen integriti dan amalan ketelusan amat penting untuk disemai dan dipertahankan dalam kalangan pengamal undang-undang dan pemerintah.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bertitah di Konvokesyen Ke-22 Peperiksaan Sijil Amalan Guaman 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra bahawa peranan dan komitmen serta usaha bagi memastikan piawaian amalan undang-undang di negara ini

perlu berada di tahap tertinggi.

Baginda turut bertitah bahawa tahap profesionalisme pengamal undang-undang di negara ini sama sekali tidak boleh dikompromikan.

Tidak banyak perbezaan jika dilihat prinsip kedaulatan undang-undang dan prinsip pentadbiran Islam. Islam meletakkan garis panduan jelas kepada tanggungjawab pemerintah dan rakyat.

Sebagai contoh ketara, Islam mensyariatkan perbincangan dalam konsep syura. Islam meletakkan tanggungjawab pemerintah untuk menghormati yang diperintah dengan meletakkan hak-hak tertentu dan meletakkan juga tanggungjawab pemerintah untuk taat kepada perintah Allah swt. Oleh itu, semua prinsip dalam konsep kedaulatan undang-undang itu turut wujud dalam sistem pentadbiran Islam.

Sebarang permintaan, desakan, arahan atau ugutan yang boleh mengkompromikan tahap piawaian undang-undang yang ditetapkan tidak boleh diterima demi mencapai kedaulatan undang-undang yang jelas, stabil dan memberi perlindungan kepada rakyat.

Kedaulatan undang-undang berteraskan kepada konsep Pengasingan Kuasa yang menjamin institusi kehakiman yang bebas dan berwibawa. Tanpa kedaulatan undang-undang, kehidupan masyarakat dan negara tidak aman dan stabil.

Oleh itu, kedaulatan undang- undang perlu diterima dan dipertahankan. Semua rakyat Malaysia tanpa mengira pangkat, kedudukan, bangsa dan agama, wajib patuh kepada undang-undang.

Roos Niza Mohd Shariff adalah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Undang-undang, Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN