KUALA LUMPUR 4 Jun – Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan mengambil inisiatif menjalankan program pengenalan calon-calon bagi pemilihan parti di Pejabat UMNO Bahagian Wangsa Maju, di sini Rabu ini.
![]() |
|
Mohd. Razlan Rafii
|
Ketuanya, Datuk Mohd. Razlan Rafii berkata, program tersebut akan mengetengahkan calon-calon yang bertanding untuk jawatan ketua pergerakan pemuda, naib ketua dan barisan exco.
Katanya, program yang dijangka bermula pukul 10 malam itu akan memberi peluang kepada setiap calon untuk berucap, berdebat, berkempen dan menyatakan harapan masing-masing.
“Kalau dahulu, kita tidak diberi kebenaran berkempen untuk calon-calon yang akan bertanding pada pemilihan UMNO, namun sekarang keadaan itu berbeza.
“Kali ini, kita mahu setiap calon diberi peluang untuk memperkenalkan diri dan berhujah bagi membuktikan keupayaan berhujah mereka selain meyakinkan ahli-ahli parti melalui ketokohan mereka,” katanya kepada pemberita di Menara Dato Onn di sini hari ini.
Terdahulu, Mohd. Razlan telah menyerahkan borang penamaan calon bagi pemilihan parti pada 30 Jun ini.
Turut sama menyerahkan borang penamaan calon ialah Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Ketika ditanya mengenaiDatuk Seri Jamal Md. Yunos yang dikatakan akan bertanding jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Mohd. Razlan menjawab, baginya hal itu dianggap belum rasmi.
Katanya, beliau tidak percaya dengan kenyataan yang dikeluarkan hanya dari sebuah rakaman video.
“Jika Jamal serius untuk bertanding, dia perlu membuat pengumuman rasmi dan bukannya menerusi rakaman video, sedangkan beliau kini pun tidak diketahui lokasi kedudukannya, ” ujarnya. – UTUSAN ONLINE












