Raja Perempuan Perlis rai delegasi Pandu Puteri - Utusan Malaysia

Raja Perempuan Perlis rai delegasi Pandu Puteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 30 Jun – Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid berkenan berangkat bercemar duli meraikan para delegasi yang menghadiri Persidangan Pesuruhjaya dan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pandu Puteri Malaysia 2018 dalam satu majlis santapan malam di Balai Bankuasi Istana Arau malam semalam.

Antara tetamu diraja yang berangkat hadir ialah Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan Raja Puan Muda Perak Darul Ridzuan, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Turut hadir dalam kalangan 340 orang tetamu tersebut ialah para yang dipertua serta perwakilan cawangan-cawangan daripada semua negeri yang menyertai persidangan yang diadakan di Dewan Warisan Kangar pada pagi sabtu 30hb Jun 2018 tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam titah ucapan baginda di majlis tersebut, Tuanku Raja Perempuan Perlis mengalu-alukan sekalian tetamu diraja dan juga para perwakilan ke negeri Perlis dengan harapan semoga silaturrahim yang dipupuk di sini terus berkekalan.

Baginda turut menitahkan ucapan tahniah kepada seluruh kepimpinan dan juga warga Persatuan Pandu Puteri Malaysia cawangan negeri Perlis yang telah bertungkus-lumus untuk memastikan semua para tetamu selesa di sini dan perjalanan program yang diatur berjalan lancar serta menemui segala matlamat yang dihasratkan.

 

Terdahulu Tuanku Zara Salim selamat berangkat tiba ke negeri Perlis dan keberangkatan tiba baginda di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Kepala Batas, Alor Setar dari Kuala Lumpur disambut oleh Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah.

Baginda seterusnya mengiringi Tuanku Zara ke hotel persemayaman di Kangar.

Sementara itu, dalam program berasingan petang kelmarin Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah berkenan meraikan Raja Puan Muda Perak Darul Ridzuan, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim yang turut berangkat ke Perlis untuk menghadiri persidangan tersebut dalam satu majlis santapan teh di Gallery SD28 Restoran Blackwood Kangar.  – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN