KUALA LUMPUR 30 jun – Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persetukuan Kuala Lumpur (JPJ WPKL) berjaya mengurangkan jumlah kesalahan lalulintas sebanyak 63.16 peratus pada sambutan Hari Raya tahun ini berbanding tahun sebelumnya.
Pengarah JPJ WPKL, Ismail Mohd Zawawi berkata, sepanjang operasi sempena sambutan Hari Raya (Ops HRA) dari 8 hingga 24 Jun lalu, sebanyak 1,134 notis kesalahan jalan raya telah dikeluarkan berbanding 3.079 kes pada tahun lalu.
“Ini menunjukkan kadar penurunan sebanyak 63.16 peratus pada tahun ini. Penurunan kadar pengeluaran notis menunjukkan kesedaran dan pematuhan orang ramai terhadap undang-undang dan keselamatan jalan raya semakin meningkat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ismail berkata, kejayaan itu hasil daripada beberapa strategi operasi penguatkuasaan bagi meningkatkan `persepsi akan kena tahan’ dalam kalangan pengguna dalam usaha mengurangkan kemalangan dan kematian di jalan raya serta membudayakan pemanduan berhemah dan selamat.
“Anggota Bahagian Kejuruteraan Automotif Negeri turut menyertai operasi dengan membuat pemeriksaan teknikal kenderaan khususnya bagi pemeriksaan bas di depoh dan pemeriksaan bas di lokasi pemeriksaan yang ditetapkan sebelum perjalanan bas bermula.
“Anggota penguatkuasa pula diberi tanggungjawab untuk membuat pemeriksaan bas di Terminal Bersepadu Selatan serta pemeriksaan ke atas dokumen pemandu bas, buku log, pemandu kedua dan saringan air kencing dengan kerjasam AADK (Agensi Anti-Dadah Kebangsaan),” jelasnya,
Katanya, unit peronda pula melakukan rondaan di jalan-jalan utama sekitar Kuala Lumpur dengan memberi tumpuan kepada tujuh kesalahan utama iaitu gagal mematuhi lampu isyarat, memotong di garisan berkembar, mengguna telefon bimbit ketika memandu, memandu di lorong kecemasan, memanduli melebihi had laju, tidak memakai talipinggang keledar dan memandu di lorong kanan secara berterusan (kenderaan barangan).
“Di samping itu JPJ WPKL juga telah mengadakan ceramah kesemalatan jalan raya di 11 buah sekolah untuk meningkatkan pemahaman tentang keselamatan jalan raya dan membudayakan pemanduan berhemah dalam kalangan pelajar sekolah,” katanya. – UTUSAN ONLINE











