SEREMBAN – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan mengesahkan akaun bank UMNO Negeri Sembilan tidak dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Kata beliau, akaun bank milik UMNO negeri ini masih aktif dan tidak terlibat dalam pembekuan disebabkan siasatan pihak berkuasa keatas isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Saya sudah minta pejabat UMNO negeri bertanya kepada pihak bank tentang keadaan akaun UMNO perhubungan dan juga bahagian Rembau petang semalam.
“Saya dimaklumkan tiada apa-apa (pembekuan) kerana sebelum ini kita tidak pernah menerima peruntukan terus daripada Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Rembau di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohamad yang juga Ketua UMNO Bahagian Rembau dan calon Timbalan Presiden UMNO yakin pembekuan akaun UMNO oleh pihak berkuasa semata-mata atas tujuan siasatan dan bukan untuk menganiaya parti itu. – K! ONLINE











