Mohd. Khalid persoal proses pengundian - Utusan Malaysia

Mohd. Khalid persoal proses pengundian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU 30 Jun – Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Arau yang berlangsung di Pusat Khidmat Kubang Gajah di sini hari ini sedikit tegang apabila calon Ketua Bahagiannya, Mohd. Khalid Ahmad menyuarakan rasa ketidakpuasan hatinya berhubung proses pengundian dalam pemilihan di bahagian itu yang didakwa tidak terbuka.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bantahan itu dikemukakan Mohd. Khalid ketika beliau diberikan peluang oleh Pengerusi Tetap Sementara, Datuk Sulaiman Shafie untuk berucap bagi memperkenalkan diri kepada perwakilan dalam mesyuarat itu.

Beliau berkata, proses pengiraan undi perlu dilakukan secara terbuka bagi membolehkan semua perwakilan melihat proses tersebut selain kertas undi yang dipangkah oleh perwakilan sepatutnya dicop oleh dua pihak iaitu urusetia mesyuarat dan calon yang bertanding.

“Saya minta proses perkiraan undi dilakukan secara terbuka agar semua perwakilan boleh melihat apa yang berlaku memandangkan proses membuang undi dilakukan di dalam pejabat Pusat Khidmat di sini,” katanya.

Bagaimanapun, permintaan Mohd. Khalid ditolak oleh Sulaiman atas alasan tidak ada peruntukan yang membenarkan permintaan beliau.

Ketegangan sekali lagi berlaku apabila terdapat perwakilan tidak puas hati apabila mendakwa proses mengundi kali ini hanya menggunakan pensel.

Mohd Khalid sekali lagi tampil menyuarakan bantahan selepas menerima aduan tersebut daripada perwakilan.

“Mana boleh undian dilakukan dengan menggunakan pensel kerana ia boleh mengundang pelbagai tanggapan buruk oleh perwakilan.

“Sepatutnya proses mengundi dilakukan dengan pen atau sebarang peralatan yang meninggalkan dakwat kekal di atas kertas undi,” tegasnya.

Bagaimanapun Sulaiman memberi penjelasan bahawa tujuan pihaknya menyediakan pensel adalah bagi memudahkan para perwakilan memadam jika tersilap memilih calon yang bertanding.

“Jika penggunaan dakwat kekal dan perwakilan tersilap memangkah, secara tidak langsung ia akan merugikan kertas undi,” katanya.

Mohd. Khalid yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Besar berhadapan dengan Datuk Seri Shahidan Kassim bagi merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian Arau dalam pemilihan parti itu, hari ini.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN