LANGKAWI 30 Jun – Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini menegaskan bahawa bersedia untuk dibawa ke muka pengadilan seandainya ada dakwaan menggaitkan beliau dengan kegiatan rasuah.
Perdana Menteri itu berkata, beliau dan kepimpinan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang lain
sudah berikrar malah bersumpah tidak akan melakukan sesuatu yang melanggar undang-undang.
“Inilah janji kami (PH) jika ada bukti kami tidak tepati janji, tipu buatlah laporan termasuk ke atas saya.
“Buatlah laporan jika saya menipu dan tidak amanah dengan bukti yang cukup supaya saya dijatuhkan sebagai Perdana Menteri, “ katanya ketika berucap pada Mesyuarat Agung Koperasi Pembangunan Daerah Langkawi Berhad di Kuah dekat sini hari ini.
Katanya, perkara yang sama juga meliputi semua pemimpin parti PH yang lain termasuk wakil rakyatnya.
“Perkara sama juga turut membabitkan wakil rakyat PH.
“Jika mereka terbabit rasuah, terima duit untuk tipu atau dapatkan kontrak sana sini mereka juga akan disingkirkan daripada jawatan masing-masing malah akan dipecat sebagai ahli parti,” katanya. – UTUSAN ONLINE











