GUA MUSANG – Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah, 81, berjaya mengekalkan jawatan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang yang disandangnya sejak lebih lima dekad.
Beliau yang menyandang jawatan itu sejak tahun 1962, menang tanpa bertanding selepas bekas Ketua Pemuda UMNO Gua Musang, Datuk Bazlan Baharuddin menarik diri pada saat akhir.
Tengku Razaleigh juga antara lima calon yang bertanding Presiden UMNO bersama Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Seramai 485 perwakilan hadir dalam Pemilihan Umno Bahagian telah melaksanakan tanggungjawab kali ini.
Sehingga pukul 1 petang ini suasana pemilihan di Balai Rakyat Bukit Cekati di sini tenang dan berjalan lancar.
Pada pemilihan bahagian hari ini juga dua jawatan berdepan dengan pertandingan dua penjuru iaitu Timbalan Ketua UMNO Bahagian dan Naib Ketua UMNO Bahagian.
Bekas Ketua Penerangan, Mohd. Syahbuddin Hashim menawarkan diri bagi merebut jawatan Timbalan Ketua Umno Bahagian yang digalas Datuk Nozula Mat Diah sebelum ini.
Manakala bekas Ketua Pemuda, Sheikh Razali Sheikh Hamad mencabar kerusi Ab. Aziz Yusoff untuk jawatan Naib Ketua Umno Bahagian. – K! ONLINE











