BACHOK 30 Jun – Proses pemilihan UMNO Bahagian Bachok bermula tepat pada pukul 12.00 tengah hari ini.
Seramai 791 perwakilan hadir pada sesi pemilihan kali ini bagi memilih kepemimpinan baharu UMNO bagi penggal 2018-2021 termasuk bagi peringkat Majlis Tertinggi.
Biarpun proses pemilihan di Dewan Haji Hussin di sini berlangsung dalam keadaan panas dan kurang selesa, namun perwakilan kelihatan tetap bersemangat dan mampu bersabar.
Jawatan Ketua UMNO Bahagian Bachok menyaksikan persaingan tiga penjuru antara Mohd Zain Yasim, Datuk Inche Zainal Abidin Inche Wil dan Yusof Mat setelah Timbalan Ketua Bahagian, Datuk Dr Ilias Husain menarik diri akibat masalah kesihatan.
Penyandang, Datuk Dr Awang Adek Hussin tidak mempertahankan jawatan itu bagi memberi peluang kepada muka baharu.
Perwakilan bakal memilih Pengerusi Tetap, Ketua Bahagian, Timbalan Ketua Bahagian, Naib Ketua Bahagian dan 20 orang Ahli Jawatankuasa baharu.
Manakala bagi jawatan Timbalan Pengerusi Tetap pula muka baharu, Abd Halim Che Muhammad menang tanpa bertanding. – UTUSAN ONLINE











