KULAI – Seorang pemandu treler maut selepas kenderaan dipandunya merempuh belakang sebuah lori membawa muatan batu-bata di Kilometer 38.5 Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus) arah selatan berhampiran Sedenak di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 6.40 pagi itu, mangsa, Azlan Shamsuddin, 48, meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah pada anggota badan.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Dzulkhairi Mukhtar berkata, kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu treler yang gagal mengawal kenderaannya sebelum merempuh belakang lori berkenaan.
“Ketika kejadian, kedua-dua kenderaan bergerak dari arah utara Kuala Lumpur menuju ke arah selatan Johor Bahru.
“Sejurus tiba di lokasi kejadian, mangsa dikatakan gagal mengawal kenderaannya sebelum merempuh belakang lori yang dipandu lelaki berusia 54 tahun itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dzulkhairi berkata, akibat kemalangan itu, pemandu treler cedera parah sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori terselamat.
Katanya, pada masa sama batu-bata yang dibawa lori berkenaan terjatuh dan terkena sebuah motosikal yang melalui laluan tersebut. – K! ONLINE











