KUALA LANGAT – Lelaki berusia 20 tahun yang dipercayai membunuh ibu kandungnya semalam di kediaman mereka di Taman Langat Utama, Rancangan Tanah Belia (RTB) Kampung Bukit Changgang di sini bebas daripada pengaruh dadah dan alkohol.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Deputi Superintendan Kamalariffin Aman Shah berkata, ujian air kencing dan darah yang dilakukan semalam mendapati suspek negatif daripada bahan terlarang tersebut.
“Kita masih menyiasat untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian tersebut kerana keadaan suspek yang masih belum waras.
“Sementara itu, bedah siasat ke atas mayat mangsa yang dijalankan di Hospital Banting semalam mendapati mangsa meninggal dunia akibat tusukan pisau pada kepala dan paru-paru,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa juga telah diserahkan kepada ahli keluarga malam kelmarin sejurus selesai proses bedah siasat bagi urusan pengebumian.
“Kita juga telah mendapat perintah tahanan reman selama tujuh hari ke atas suspek yang bermula hari ini sehingga Jumaat depan,” ujarnya. – K! ONLINE











