Kepemimpinan UMNO baharu tidak boleh ‘syok sendiri’ - Johari - Utusan Malaysia

Kepemimpinan UMNO baharu tidak boleh ‘syok sendiri’ – Johari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 30 Jun – Kepemimpinan UMNO yang dipilih perlu keluar dari kepompong dan tidak lagi bersikap ‘syok sendiri’ dalam mengemudi parti untuk mengembalikan integriti dan kredibiliti parti kepada rakyat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kepemimpinan UMNO perlu bersikap terbuka dan telus dalam memimpin parti serta sedar bahawa rakyat sentiasa memerhati tindak tanduk dan tutur kata mereka yang mewakili keseluruhan parti.

Katanya, kepemimpinan parti juga perlu mengelakkan untuk membuat kenyataan yang mengaibkan parti serta sia-sia dan boleh membangkitkan kemarahan rakyat.

“Rakyat kini sudah berpendidikan dan mereka sentiasa menganalisis tindak tanduk pemimpin-pemimpin parti politik terutamanya UMNO, sebuah parti keramat yang membawa kemerdekaan kepada negara dan kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) setelah 61 tahun membangunkan negara.

“Kita mesti memastikan bahawa UMNO dibarisi dengan kepemimpinan yang berdisiplin dan bijaksana dalam tindakannya agar rakyat dapat ‘jatuh cinta’ semula kepada parti ini,” katanya merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Titiwangsa di Hotel Flamingo di sini hari ini.

Sebanyak 521 perwakilan dari 81 cawangan UMNO bahagian Titiwangsa hadir bagi menjalankan tanggungjawab mereka sebagai ahli UMNO untuk mengundi kepemimpinan UMNO Titiwangsa serta Ahli Majlis Tertinggi UMNO pagi ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN