Tiada lagi gaji besar – PM - Utusan Malaysia

Tiada lagi gaji besar – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA 29 Jun – Semua ketua syarikat milik kerajaan (GLC) tidak akan menerima gaji yang besar lagi selepas ini, tegas Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sebaliknya menurut Perdana Menteri, peneraju-peneraju syarikat berkenaan akan diberi ganjaran berupa bonus yang besar sebagai menghargai kerja keras dan pencapaian mereka.

Dalam masa sama Dr. Mahathir berkata, kriteria dan kelayakan ke­tua-ketua GLC juga akan dinilai semula oleh pentadbirannya termasuk menghentikan pelantikan po­litik.

Ini kerana kata beliau, secara umumnya, kerajaan baharu pimpinannya mendapati pelantikan ketua-ketua GLC oleh kerajaan sebelum ini bukan berdasarkan kebolehan, sebaliknya me­reka merupakan penyokong parti politik.

“Mereka tidak mempunyai ke­cekapan dan dapat gaji yang cukup tinggi, jadi akhirnya kita dapati projek-projek di bawah pengurusan mereka gagal, tak dapat keuntungan.

“Sebab itu kita perlu tukar, pi­lih orang profesional yang cukup kelayakan dan tak terikat dengan parti,” kata Dr. Mahathir dalam sidang akhbar dengan wartawan Malaysia di akhir lawatan rasmi­nya ke Indonesia di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan yang menyebut terdapat segelintir ke­tua GLC yang menerima gaji sehingga mencecah RM10 juta setahun.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan tidak hanya menghentikan pelantikan politik dalam kalangan ketua-ketua GLC, sebaliknya, duta-duta yang dilantik atas kepentingan parti politik dalam kerajaan sebelum ini juga akan mengalami nasib yang sama.

“Saya tidak boleh namakan (ketua-ketua GLC) kerana terlalu ramai. Kebanyakan merupakan pelantikan politik termasuk duta.

“Lebih 17,000 pengambilan politik yang dibuat oleh kerajaan se­belum ini tidak ada kebolehan tetapi mereka adalah penyokong parti,” tegas beliau.

Dalam nada yang tegas, Dr. Mahathir juga mengingatkan, semua menteri Kabinet termasuk yang akan mengangkat sumpah pada Isnin ini akan disingkirkan seandainya terlibat dalam amalan ra­suah dan penyalahgunaan kuasa.

Sebelum itu, Dr. Mahathir mengadakan pertemuan empat mata dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi di Istana Presiden di Bogor, Jawa Barat.

Yang turut sama isteri Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan isteri Jokowi, Iriana Widodo. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN