SAUDARA PENGARANG, SAYA hendak memberi pandangan terhadap Pemandu Prihatin, Shah Alam yang keluar dalam Forum Utusan Malaysia pada 8 Jun 2018.
Bagi saya, lorong motosikal tersebut sudah lama wujud dan apa yang perlu ialah ia hendaklah diperbaiki serta dinaik taraf supaya lebih selesa dan selamat untuk pengguna motosikal.
Apa yang berlaku sekarang ialah penunggang motosikal terpaksa dan diarah menggunakan laluan kenderaan lain di Lebuh Raya Persekutuan disebabkan kerja-kerja menaik taraf di lorong motosikal.
Keadaan bertambah teruk apabila terdapat segelintir penunggang motosikal yang tidak sabar, kurang ajar dan mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan keselamatan pengguna lain.
Jika ada penunggang motosikal seperti ini, pihak berkuasa seperti polis trafik dan Jabatan Pengangkutan Jalan hendaklah mengambil tindakan tegas untuk membendung sikap sedemikian.
Saya minta lorong motosikal di Lebuh Rraya Persekutuan dikekalkan kerana laluan tersebut amat berguna dan berfaedah kepada penunggang motosikal seperti saya.
Janganlah disebabkan segelintir penunggang motosikal yang tidak patuh kepada peraturan jalan raya, pengguna lain terpaksa menanggung kesan dan akibatnya.
PENUNGGANG PRIHATIN
Sentul, Kuala Lumpur











