KUALA LUMPUR 29 Jun – Malaysia mencatatkan perdagangan perkhidmatan antarabangsa berjumlah RM341.1 bilion pada 2017, menyumbang sebanyak 25.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kata Jabatan Perangkaan.
Jabatan itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, eksport perkhidmatan berkembang kepada RM159.2 bilion daripada RM147.6 bilion pada 2016 manakala import meningkat sebanyak 9.3 peratus kepada RM182 bilion daripada RM166.5 bilion sebelumnya.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir berkata, eksport perkhidmatan meningkat sebanyak RM47.7 bilion dalam tempoh tujuh tahun lepas.
“Eksport disokong terutamanya oleh perkhidmatan perjalanan dan perkhidmatan perniagaan seperti perkhidmatan profesional dan rundingan pengurusan dan telekomunikasi, komputer dan maklumat,” katanya.
Sementara itu, import meningkat sebanyak RM77.1 bilion dari 2010 hingga 2017, didorong oleh pembayaran lebih tinggi kepada aktiviti perjalanan, pengangkutan dan pembinaan.
Jabatan Perangkaan berkata, semasa tempoh itu import barangan meningkat, membawa kepada pembayaran tinggi kepada pengangkutan muatan dan insurans asing.
“Sementara itu, projek berterusan dalam industri minyak dan gas dan projek infrastruktur bernilai tinggi telah menyumbang kepada pengembangan kukuh dalam import pembinaan,” kata jabatan itu.
Asia kekal sebagai destinasi utama bagi perkhidmatan eksport dan import Malaysia masing-masing pada 70.4 peratus dan 68.2 peratus.
Keseluruhannya, destinasi eksport utama Malaysia ialah Singapura, diikuti Amerika Syarikat (AS) dan China. – BERNAMA











