BUDAK-BUDAK KAMPUNG MALAM AIDILFITRI - Utusan Malaysia

BUDAK-BUDAK KAMPUNG MALAM AIDILFITRI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA itu menjelang Hari Raya Aidilfitri. Tetapi tidak terasa suasana hari lebaran. Kami semua dalam keadaan bersedih. Nenek sakit. Beliau tidak boleh meninggalkan kerusi rodanya. Kami juga harus tidur lebih awal.

Memuatkan artikel berkaitan…

Rumah tempat tinggal nenek besar dan usang. Sinar matahari tidak banyak masuk. Tetapi aku menyukainya. Nenek sering memanggilku dan menceritakan pengalaman masa kecilnya dulu. Tetapi itu dulu, sebelum nenek sakit.

Tugas merawat nenek digalas oleh ibu. Kebetulan masih lagi cuti, aku diajaknya. Malam itu seharusnya aku sudah tidur. Tetapi kerana susah tidur, aku termenung di muka jendela yang terkuak lebar. Menikmati pemandangan dan angin segar dari luar.

Pada suatu malam, ketika aku sedang menikmati udara sejuk di muka jendela, tiba-tiba aku dengar bunyi langkah kaki. Perlahan-lahan pintu bilik aku terbuka. Seorang gadis kecil berambut hitam legam muncul di ambang pintu. Kemudian gadis itu duduk di atas tikar. Katanya, dia sedang menunggu rakan-rakannya.

Sebentar kemudian beberapa budak seusiaku menghambur masuk. Mereka bermain-main seperti berada di luar rumah.

“Hei, jangan bising! Nanti nenek bangun!!!” tegurku.

Tetapi mereka tidak peduli, dan terus bermain-main.

Suara kokok ayam terdengar. Aku tertidur di atas kerusi. Rupa-rupanya budak-budak itu sudah tiada lagi. Suasana kembali sepi. Aku kembali ke katil.

Esok malamnya, aku tunggu lagi kedatangan budak-budak itu. Tetapi ibu menghalang aku berjaga jauh-jauh malam dan menyuruhku lekas tidur. “Malam sudah larut,” katanya.

Beberapa malam kemudian, kebetulan dua hari lagi umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri, aku berjaya menyelinap keluar. Aku duduk di hadapan tangga. Budak-budak yang sama muncul. Mereka serentak mengajak aku bermain agak jauh sikit dari rumah. Kami bermain-main di bawah pokok tinggi di hujung halaman sehingga ayam jantan berkokok. Seorang rakan bermainku, budak lelaki berambut hitam bermata sayu berkata, “Malam raya esok, kami akan datang lagi. Kamu tunggu ya!”

Aku berlari kembali ke bilik tidur dan berhati-hati naik ke atas katil. Ibu curiga. Sebab dia berjingkit-jingkit memasuki bilik aku dan mendekati katil. Aku pura-pura terlelap sehingga ibu pergi. Syukur, ibu tidak mengesyaki apa-apa.

Sejak itu, ibu selalu mengamati gerak-geri aku. Namun rahsiaku tidak berjaya dipecahkannya. Pada malam raya, ketika ibu sedang tidur, perlahan-lahan aku keluar ke tengah halaman. Oh ya…, aku sebut saja rakan-rakanku itu ‘budak-budak malam’. Kali ini, mereka mengajak aku pergi bermain bunga api di sebuah surau usang. Kebetulan malam itu, bulan bercahaya terang di langit. Jadi, kami tidak perlu membawa lampu picit.

Tapi aku kehairanan. “Apakah di kampung kecil ini ada surau usang?”

“Ya… ada! Surau itu dah tak digunakan lagi. Di sana, seronok tau! Kita boleh juga bermain meriam buluh.”

Mereka lalu membawa aku ke sebuah jalan kecil yang tepinya dibatasi pokok-pokok tinggi. Tempat itu amat asing bagiku. Sebatang sungai mengalir tenang di pinggir surau usang tersebut. Mereka berjalan terlalu laju membuatkan aku tertinggal di belakang. Tiba-tiba aku mendengar suara jeritan.

Rakan-rakan aku segera berlari tak tentu arah. Mereka panik, seolah-olah tidak tahu apa yang harus dilakukan. Rupa-rupanya, budak lelaki pucat berambut hitam bermata sayu itu telah terjatuh ke dalam sungai.

“Kami tidak berjaya menyelamatkannya,” ujar rakan-rakanku, saling berpandangan sesama sendiri, lalu saling bertangisan.

Aku tersentak bangun. Ibu menggoncang-goncang tubuh aku. Ternyata aku sudah di bilik tidur. Entah mengapa boleh jadi begitu. Kata ibu, aku mengigau.

Apakah kejadian itu nyata atau cuma mimpi? Aku ingin menceritakan pengalaman aku kepada ibu. Tetapi, ibu pasti marah kalau tahu aku keluar tengah malam, bermain dengan budak-budak yang belum aku kenali itu.

Pagi Hari Raya Aidilfitri, ketika berdua bersama nenek, beliau bertanya padaku, “Mengapa kamu tidak riang seperti biasa? Apa yang telah terjadi?”

“Saya mimpi buruk, nek! Saya sedang bermain bersama kawan-kawan. Seorang di antaranya mati lemas di dalam sungai.”

“Eh, macam peristiwa masa lalu,” balas nenek. “Kejadiannya sudah terlalu lama, ketika itu nenek seusia kamu. Nenek ada seorang sepupu, yang juga rakan bermain nenek. Dia berambut hitam, bermata sayu. Kami sering pergi bermain di tepi surau di hujung kampung. Tidak seorang pun yang tahu apa sebabnya, tiba-tiba dia tergelincir lalu jatuh ke dalam sungai. Beberapa hari kemudian mayatnya ditemui terapung di tepi sungai…”

Aku terkedu mendengar cerita nenek. Berhari-hari aku tidak ke bilik tengah setelah matahari terbenam. Aku takut sesuatu yang mengerikan akan terjadi lagi.

Selepas Aidilfitri, kesihatan nenek semakin merosot. Seorang doktor menjinjing beg kulit hitam dan tanpa bersuara keluar masuk ke bilik nenek. Dua orang jururawat berseragam putih dengan wajah tanpa senyum berjalan melintasi ruang anjung.

Aku dikembalikan ke rumah kami di Kuala Lumpur. Pada suatu hari, ibu pulang. Air mata berlinang membasahi pipinya. Ibu memeluk aku dan berbisik, “Nenek sudah tiada…”

Hatiku amat sedih. Bukan kerana sekadar kehilangan seorang nenek tetapi juga kerana tidak boleh bermain-main lagi dengan rakan-rakan aku yang baik itu. Ibu hendak menjual rumah pusaka tinggalan nenek, kerana terlalu besar dan usang. Tidak ada keluarga yang mahu tinggal di situ. Jadi, sebelum rumah itu dibeli orang, aku minta ibu membawaku ke sana, untuk melihat-lihat buat terakhir kalinya.

Ibu pun membawa aku ke sana. Sampai di sana, kelihatan Makcik Idah sedang mengemas barang-barang yang dulunya menghiasai sebuah rak panjang di ruang anjung. Terdapat sejumlah gambar lama. Tiba-tiba aku hampir menjerit. Dalam sebuah bingkai lama, aku ternampak sekeping gambar kusam dan warnanya kekuningan.

Aku segera mengambilnya dan bertanya, “Siapa budak-budak ini, makcik?”

Makcik Idah menunjuk satu demi satu, “Ini nenek, waktu masih kecil dulu. Ini sepupunya, Udin yang mati lemas dalam sungai dulu. Ini Pakcik Juan… Makcik Idah… err, makcik tak ingat lagi nama-nama yang lain.”

Aku mendadak berasa ada sesuatu yang aneh. Mereka itulah rakan-rakan bermain pada malam hari denganku! Dan gadis berambut hitam itu adalah nenek, berpuluh-puluh tahun lalu. Aku telah bermain dengan nenek dan semua yang ada di dalam gambar itu!

Eh! Aku juga ada di satu sudut pada gambar itu. “Dan ini siapa, ibu?” tanya aku kepada ibu.

“Yang mana?” tanya ibu.

Aku menuding pada seraut wajah tersenyum yang mirip wajah aku. “Barangkali seorang jiran nenek…” ujar ibu.

Tetapi aku mendesak, “Tetapi ibu, wajahnya macam saya!”

“Jangan merepek yang bukan-bukan, Zali!” ujar ibu. “Usia gambar ini sudah lebih tujuh puluh tahun. Bagaimana mungkin itu kamu. Tetapi…” Ibu memandang gambar itu lebih lama, lalu menambah, “Tetapi ya lah… wajahnya seiras benar dengan kamu!”

Gambar itu masih aku simpan sampai sekarang. Sebagai kenang-kenangan terhadap rakan-rakan aku – ‘Budak-budak Kampung Malam Aidilfitri.’

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN