JOHOR BAHRU 29 Jun – Seorang wanita cedera parah disyaki ditikam oleh kekasihnya di hadapan asrama pekerja di sebuah flat di Lima Kedai, Gelang Patah, kelmarin.
Difahamkan, mangsa yang berusia 20 tahun cedera di bahagian perut dan tangan kiri dalam kejadian pukul 8.48 malam.
Susulan kejadian itu, pihak polis berjaya menahan seorang lelaki yang bekerja sebagai operator kilang di Pulau Pinang, petang semalam bagi membantu siasatan kes tersebut.
Timbalan Ketua Polis daerah I, Iskandar Puteri, Superintenden Ismail Dollah berkata, suspek ditahan pukul 4.40 petang di Bukit Mertajam.
“Lelaki berusia 26 tahun itu berjaya ditahan di Bukit Mertajam dengan bantuan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah.
“Siasatan awal mendapati suspek dan mangsa saling mengenali dan bekerja di kilang yang sama. Motif atau punca kejadian masih dalam siasatan ,” katanya dalam satu kenyataan, di sini sebentar tadi.
Mangsa kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini. – UTUSAN ONLINE











