Tarik balik beku akaun UMNO - Utusan Malaysia

Tarik balik beku akaun UMNO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 28 Jun – Calon Presiden UMNO, Tengku Razaleigh Ham­zah akan berusaha menarik balik pembekuan akaun parti itu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, langkah itu adalah supaya dana di dalam akaun tersebut boleh digunakan oleh parti secepat mungkin.

Katanya, pembekuan itu dilakukan berlandaskan undang-undang tetapi parti akan melihat langkah tertentu untuk mendapatkan semula dana tersebut.

“Setiap tindakan ada reaksinya. Kami akan mencari jalan untuk mendapatkan semula dana yang menjadi milik parti supaya boleh digunakan untuk parti,” katanya seperti dipetik daripada portal The Malaysian Insight hari ini.

Sementara itu, dalam sesi perjumpaannya bersama akar umbi di Ipoh yang turut dihadiri Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir, Tengku Razaleigh menegaskan, UMNO mesti lebih kuat dan perlu meyakinkan rakyat bahawa parti itu bersedia untuk mengambil alih pemerintahan.

“Saya sudah ke Sabah, Johor, Melaka, Pahang dan ke Perlis, Pulau Pinang dan Alor Setar, ini yang dibayangkan semasa sesi soal jawab. Integriti bukannya tidak pernah berlaku tetapi mereka mahu ia dijadikan amalan.

“Banyak orang mengundi Pakatan Harapan (PH) menyesal dengan kenyataan yang dibuat oleh sesetengah pemimpin dalam PH pada hari ini,” kata beliau.

Di BAGAN SERAI, seorang lagi calon Presiden UMNO, Khairy Jamaluddin berharap tindakan SPRM Itu hanya bertujuan menjalankan siasatan dan bukan usa­ha untuk mengharamkan parti itu.

Katanya, sekiranya dipilih sebagai Presiden UMNO, beliau akan bertindak segera dan berusaha untuk memastikan akaun dan harta sah milik UMNO tidak dirampas.

“(Sekiranya menang) Yang pertama kita akan dapatkan nasihat peguam, jumpa pihak berkuasa dan bertemu dengan Perdana Menteri… kalau (pembekuan) adalah untuk buat siasatan tak apa, tapi jangan ada usaha untuk haramkan UMNO.

“Sekiranya ada sumbangan daripada pihak tertentu terhadap UMNO, maka saya harap mereka dapat memberikan perincian kepada parti UMNO kerana saya tidak mahu disebabkan ada apa pun sumbangan kepada UMNO daripada pihak tertentu ia menjejaskan parti UMNO secara ke­seluruhan,” katanya.

Bekas Ketua Pemuda UMNO itu berkata, pembekuan akaun UMNO juga menyukarkan pelaksanaan kerja-kerja pentadbiran di pelbagai peringkat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN