KUALA LUMPUR 28 Jun – Ahli Perbadanan SME Corporation (SME Corp.), Agil Faisal Ahmad Fadzil mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa serta-merta.
Agil Faisal berkata, ia susulan arahan yang diterima daripada Majlis Penasihat Kerajaan yang diketuai Tun Daim Zainuddin untuk mengemukakan surat peletakan jawatan, bertepatan dengan polisi kerajaan baharu untuk menamatkan lantikan daripada kerajaan yang lepas.
“Saya menerima keputusan ini kerana percaya bahawa kerajaan baharu pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad mungkin mempunyai perancangan yang lain untuk menyelaraskan kementerian dan agensi-agensi sedia ada.
“Saya ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir kerana telah mencalonkan saya untuk menggalas jawatan ini dan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapha Mohamed atas keyakinan beliau kepada saya selama ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Agil Faisal, sepanjang perkhidmatan beliau di SME Corp. dan sebagai Pengerusi Panel Usahawan Muda SME Corp., beliau telah melaksanakan dua program penting bagi usahawan tempatan terutamanya golongan bumiputera.
“Program Tunas Usahawan Bumiputera (Tube) telah berjaya melatih bakal-bakal usahawan selain membimbing lebih 3,000 usahawan muda bumiputera setakat ini,” katanya.
Selain itu, beliau turut menggerakkan usaha untuk memperjuangkan pengiktirafan usahawan muda sebagai kategori khas dalam polisi keusahawanan kerajaan untuk memudahkan bantuan pinjaman, pembangunan kapasiti dan pasaran.
“Saya ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada kerajaan baharu kita dan semoga masa depan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), usahawan muda, usahawan baharu dan usahawan bumiputera akan terus terbela,” katanya.-UTUSAN ONLINE











