GUA MUSANG – Seorang budak lelaki hancur kaki kiri selepas digilis sebuah jentera angkat susun (forklift) dalam kejadian di sebuah kilang papan dekat Kawasan Perindustrian Gua Musang, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.55 pagi itu, mangsa, Mohd. Daniel Adha Mohd. Shafawe, 6, yang parah telah menerima rawatan awal di Hospital Gua Musang sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Krai.
Mangsa tinggal di kawasan itu selepas bapanya, Mohd. Shafawe Omar, 44, yang bekerja di kilang itu berpisah dengan ibunya, Ruslida Kamarazaman, 38.
Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa bermain di kawasan kejadian sebelum tiba-tiba digilis jentera yang sedang melakukan kerja di kawasan tersebut.
Menurut Ruslida, mangsa merupakan anak keenam daripada tujuh beradik dan tinggal bersama bekas suaminya di kilang itu sejak setahun lalu.










