EKATERINBURG – Sweden berjaya menamatkan penantian 12 tahun layak ke pusingan 16 pasukan terbaik Piala Dunia selepas menewaskan Mexico 3-0 pada aksi terakhir Kumpulan F di Stadium Arena Ekaterinburg malam tadi.
Kemenangan itu menyaksikan Sweden muncul sebagai pendahulu Kumpulan F dan berkongsi enam mata bersama Mexico tetapi dipisahkan menerusi perbezaan jaringan, melakarkan kejutan melepasi peringkat kumpulan.
Kali terakhir Sweden layak bermain di kelompok 16 pasukan terbaik ketika membuat penampilan pada Piala Dunia 2006 Jerman.
Dalam aksi itu, skuad kendalian Janne Anderson diarah bekerja keras terlebih dahulu sebelum Ludwig Augustinsson membuka tirai jaringan pada minit ke-50.
Pemain pertahanan kiri SV Werder itu bijak memanfaatkan hantaran Viktor Claesson dan mudah melepaskan rembatan rendah menewaskan penjaga gol Mexico, Guillermo Ochoa.
Berselang 12 minit kemudian, Sweden terus mengukuhkan kedudukan menerusi gol kedua dari Andreas Granqvist hasil sepakan penalti selepas pengadil dari Argentina, Nestor Pitana menghukum pemain Mexico, Hector Moreno yang mengasari penyerang Al Ain FC, Marcus Berg.
Jaringan sendiri Edson Alvarez pada minit ke-74 menambahkan lagi luka buat Mexico menyaksikan Sweden selesa dengan keputusan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Biarpun tewas Mexico tetap berjaya mengiring Sweden layak ke pusingan 16 pasukan terbaik selepas Korea Selatan melakarkan kejutan menewaskan juara bertahan, Jerman 2-0 dalam aksi yang sama.
Keputusan itu menyaksikan Sweden berkongsi enam mata bersama Mexico, manakala Jerman sekadar meraih empat mata disusuli Korea Selatan (tiga mata) sepanjang tiga perlawanan peringkat Kumpulan F Piala Dunia 2018 Rusia. – Agensi










