KUALA LUMPUR 27 Jun – Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia (MERHROM) menggesa Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) supaya menyegerakan proses pendaftaran pelarian Rohingya di Malaysia bagi memudahkan pihak berkuasa mengenal pasti jumlah serta status pelarian yang ada.
![]() |
|
ZAFAR AHMAD
|
Presidennya, Zafar Ahmad Abdul Ghani berkata, setakat kini, masih terdapat lebih 100,000 pelarian Rohingnya yang masih tidak berdaftar dengan UNHCR kerana proses pendaftaran selalunya mengambil masa yang lama iaitu antara satu dan lima tahun, malah lebih.
Kelewatan mereka mendaftar sebagai pelarian katanya, menyebabkan mereka berdepan dengan risiko ditahan, diekploitasi dan sebagainya.
“Malah ia juga menganggu kelangsungan kehidupan harian termasuk akses untuk mendapatkan pekerjaan, kesihatan serta pendidikan asas kepada anak-anak mereka,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Kelmarin, wakil UNHCR di Malaysia, Richard Towle memberitahu bahawa UNHCR akan menggesa kerajaan supaya membenarkan pelarian yang berdaftar mendapat peluang untuk bekerja secara sah di Malaysia. – UTUSAN ONLINE












