KUALA TERENGGANU 27 Jun – Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan melakukan ugutan jenayah termasuk bunuh dan membakar rumah keluarga seorang pelajar institusi pengajian tinggi awam di Jalan Sungai Rengas, Padang Sena dekat sini 18 Jun lalu.
Tertuduh, Aman Shah Said Anib, 31, dan rakannya Muhamad Roslan, 45, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.
Abdul Hayyi kemudian menetapkan 12 Julai ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan kedua-dua tertuduh dikenakan ikat jamin RM3,000.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur Adila Mat Zaidan manakala tertuduh diwakili peguam Horley Isaacs.
Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh yang tinggal di alamat di Gombak, Selangor dan Kampung Banggol Peradong, Manir dituduh melakukan perbuatan itu kira-kira pukul 3.30 pagi ke atas Amirul Anuar Husin, 19, dengan niat menimbulkan ketakutan kepada mangsa.
Mereka menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan. – UTUSAN ONLINE











