MELAKA 26 Jun – Kerajaan negeri mengarahkan semua agensi dan jabatan berkaitan dengan pertanian, pembangunan usahawan dan industri asas tani supaya menyediakan laporan kewangan masing-masing sepanjang di pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk diteliti.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani negeri, Norhizam Hassan Baktee berkata, beliau telah mengarahkan semua agensi di bawah portfolionya itu supaya menyerahkan laporan tersebut segera untuk disemak bagi memastikan ketelusan serta tiada unsur salah guna kuasa.
Katanya, langkah itu terpaksa diambil kerana berdasarkan pemerhatian, terdapat kemungkinan berlaku kegiatan penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah dalam kalangan pihak atasan agensi-agensi berkenaan selama ini.
“Sebelum kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran kesemua agensi kerajaan negeri ini, kita mahu pastikan laporan kewangan mereka bagi memastikan ia `bersih’ daripada sebarang salah laku.
“Sekiranya hasil penelitian itu mendapati terdapat unsur-unsur berkaitan salah guna kuasa atau rasuah, saya akan memaklumkan perkara ini kepada Ketua Menteri, Adly Zahari dan pada masa yang sama akan membuat laporan kepada pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau polis,” katanya.
Norhizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Pengkalan Batu berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan dan mendengar taklimat ringkas mengenai Perbadanan Bioteknologi Melaka (MBC) di pejabat agensi itu di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini sebentar tadi.
Mengulas lanjut, beliau yang dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah MBC memberitahu, ketika ini dianggarkan terdapatkira-kira 36 buah agensi dan jabatan kerajaan di bawah portfolio beliau dan pihaknya akan mengadakan lawatan ke semua agensi berkenaan secara berterusan.
“Lawatan saya ke semua agensi ini bagi mendengar sendiri perjalanan sesebuah jabatan dan mendapatkan maklum balas mengenai setiap permasalahan yang dihadapi di mana kita mahu memastikan semua kakitangan kerajaan negeri dapat menjalankan tugas mereka dengan baik.
“Saya bukan menuduh semua agensi terlibat melakukan amalan salah guna kuasa atau rasuah tetapi bagi kerajaan negeri,
mana-mana pemimpin agensi di bawah kerajaan terdahulu jangan memikirkan mereka boleh terlepas sekiranya mereka telah melakukan salah laku ketika berkuasa dahulu,” tegas beliau. – UTUSAN ONLINE










