Walker kelemahan terbesar England - Wenger - Utusan Malaysia

Walker kelemahan terbesar England – Wenger

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON 26 Jun – Kyle Walker menjadi pilihan utama jurulatih England, Gareth Southgate sepanjang kempen Piala Dunia 2018, dan itu mengejutkan bekas pengurus Arsenal, Arsene Wenger kerana dia percaya tonggak pertahanan Manchester City tersebut adalah bahagian paling lemah dalam skuad Three Lions.

Penyokong Three Lions kini di tahap keyakinan tertinggi selepas membelasah Panama 6-1 dalam perlawanan kedua Kumpulan G, Ahad lalu.

England juga memulakan kempen dengan menewaskan Tunisia 2-1, hasil dua jaringan Harry Kane dalam perlawanan yang menyaksikan Walker menghadiahkan sepakan penalti kepada pasukan lawan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ujian terbesar England hanya tiba pada Jumaat ini (pukul 2 pagi waktu Malaysia) apabila mereka berdepan Belgium untuk menentukan juara kumpulan.

Wenger, yang kini menjadi pengulas untuk beIN Sports bimbang sekiranya Southgate terus meletakkan Walker di posisi bek tengah kerana menganggap pemain itu berisiko melakukan kesilapan.

“Dia bukan pertahanan tulen, terutama untuk memainkan peranan di posisi bek tengah.

“Dia mudah melakukan kesilapan pertahanan, berbanding apabila bermain di posisi kanan,” kata Wenger.

Eric Dier, yang belum membuat penampilan dalam kejohanan itu meskipun terkenal sebagai pemain serba boleh, mampu mengisi posisi pertahanan tengah, bek kanan atau kiri, selain bahagian tengah.

Wenger turut mempersoalkan mengapa Southgate masih belum menurunkan bintang Tottenham berusia 24 tahun itu.

“Dia boleh bermain di pertahanan tengah atau membantu bahagian tengah. Saya tidak tahu mengapa dia tidak digunakan,” katanya.

England yang sudah melangkah ke peringkat kalah mati akan bertemu sama ada Jepun, Senegal atau Colombia dalam pusingan seterusnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini