KUALA LUMPUR 26 Jun – Penularan mengenai kematian bayi lelaki yang dicampak ibunya dari tingkat dua belakang sebuah restoran di Kajang, dekat sini sejak semalam disahkan palsu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintenden Mohd. Sabri Abdullah ketika dihubungi berkata, sehingga pukul 2.30 petang tadi bayi terbabit masih dirawat di Unit Rawatan Rapi Kanak-kanak Hospital Kajang.
“Saya difahamkan bayi tersebut kini berada dalam keadaan stabil dan status di media sosial yang tersebar mengatakan bayi itu sudah meninggal dunia adalah tidak benar.
“Gambar bayi yang digunakan juga bukan gambar mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini.
Semalam, media melaporkan bayi yang baru dilahirkan itu jatuh dari ‘langit’ sebelum ditemukan orang ramai di atas jalan raya berhampiran besi konkrit.
Seorang wanita warga asing berusia 22 tahun kemudian ditahan kira-kira enam jam selepas kejadian. – UTUSAN ONLINE










