KUALA LUMPUR 26 Jun – Kejadian banjir kilat yang kerap berlaku di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Ampang di sini dijangka selesai melalui pelaksanaan projek mitigasi oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Selangor.
Pegawai Komunikasi Korporat Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Norhayati Ahmad berkata, projek tebatan banjir itu melibatkan pembinaan kolam takungan bersebelahan dengan Sekolah Kebangsaan Hulu Klang untuk menampung peningkatan paras air ketika hujan lebat.
“Kolam takungan itu dibina untuk menampung jumlah air sebelum dipam keluar ke sungai berhampiran.
“MPAJ juga difahamkan masalah banjir kilat sekitar MRR2 di Hulu Klang melibatkan kawasan berhampiran Zoo Negara, Kampung Pasir dan Ukay Perdana akan dapat diatasi setelah projek mitigasi banjir ini siap sepenuhnya,’’ katanya kepada Utusan Malaysia, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kejadian banjir kilat di MRR2 yang menyebabkan kesesakan teruk pada Ahad lalu.
Menurut Norhayati, kejadian banjir kilat itu berlaku selepas jalan raya utama tersebut dinaiki air secara mendadak akibat hujan lebat dalam tempoh yang agak lama. – UTUSAN ONLINE










